Antara Benci Dan Rindu 10
"CANTIKNYA!" Gaun malam berwarna biru muda yang mama tunjukkan padaku benar-benar membuatkan aku teruja. Dengan fabrik shiffon yang telah dialas di bahagian dalam baju dan labuci bertaburan di bahagian dada, benar-benar menaikkan seri gaun itu. Ditambah pula dengan jahitan manik di tepi kain, sudah cukup membuatkan aku tidak berkelip mata. Keinginan untuk memiliki gaun itu juga begitu memuncak. Tetapi aku segera lupakan keinginanku itu apabila mataku tertancap pada tanda harga yang tergantung. RM700.00? Fuh! Mahal giler! Dengan duit sebanyak itu boleh menampung hidupku selama sebulan. Tidak sanggup rasanya hendak aku habiskan dalam masa sehari.
"Cantikkan Ifa? Cubalah... manalah tahu kalau sesuai dengan Ifa."
"Eh, tak perlulah mama. Sesuai tu Ifa rasa... memang sesuai. Tapi yang tak sesuai sekarang ni duit aje," ujarku dengan nada bergurau. Aku tertawa kecil dengan kata-kataku sendiri.
Ketika itu kami sedang berada di sebuah butik yang agak terkenal di kalangan orang-orang ternama seperti mama. Malam esok mama akan menghadiri jamuan tahunan AMA Holdings bersama papa. Jadi hari ini mama telah meminta aku menemaninya untuk mengambil baju yang telah ditempah sebulan lalu untuk dipakai pada malam itu. Butik inilah yang menjadi tempat mama dan rakan-rakan mama menempah pakaian. Kata mama, pilihan di sini memang banyak. Selain mempunyai pakar perunding fesyen yang berpengalaman, mereka juga sangat menitikberatkan kepuasan pelanggan. Itulah yang menyebabkan mama menjadi salah seorang pelanggan tetap di sini.
"Isy... yang tu jangan difikirkan sangat. Kalau difikirkan memang sampai bila-bila pun tak ada peluang kita nak bergaya dengan baju-baju cantik. Dah, pergi cuba saja. Cantik tu!"
"Tak perlulah mama. Membazir aja. Lagipun Ifa nak buat apa dengan baju tu. Nak pakai pergi kerja pun macam melampau sangat," bantahku, lembut. Tidak mahu menggores perasaan ibu mentuaku itu.
"La, esokkan annual dinner kompeni kita. Bolehlah pakai esok. Takkan nak pakai baju lama kut. Ifa tu salah seorang isteri ahli board of directors. So, kenalah bergaya sikit."
"Ifa tak pergilah mama," beritahuku.
"Eh, takkan Ifa tak pergi? Kan ke Rizal pergi esok? Takkan nak biarkan Rizal pergi sorang-sorang?"
Suamiku pergi? Tapi kenapa dia tak cakap apa-apa pun? Sebelum ini aku ingatkan suamiku itu tidak turut serta. Nak jawab apa kat mama ni? Memang nampak peliklah kalau Yusrizal pergi tanpa aku, kerana aku ini isterinya. Sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah, sudah semestinya agak janggal sekiranya dia pergi berseorangan.
"Dah, tak payah nak buat muka macam tu. Sekarang ni Ifa pergi cuba baju tu. Kita tengok sesuai ke tak? Ifa kena pergi majlis tu esok, tahu?"
Alamak, mama sudah mengeluarkan arahan. Bermakna aku sudah tidak punya pilihan lain. Mama pula sudah memanggil pekerja di butik itu dan menyuruhnya menurunkan gaun tersebut. Aku sudah tidak dapat berbuat apa-apa melainkan hanya menurut perintah.
Isy... nampak seksi pula baju ni! bisikku sendirian di hadapan cermin. Sudah hampir sepuluh minit aku berada di dalam fitting room yang telah disediakan di butik itu. Enggan keluar kerana malu. Gaun ini memang cantik tetapi kelihatan agak seksi. Tidak pernah aku memakai gaun yang secantik ini. Selama ini hanya baju kurung yang menjadi pakaianku. Kalau berseluar pun aku akan pastikan seluar yang kupakai itu bersaiz ‘L’. Manakala blaus pula, akan kupastikan juga bersaiz ‘L’, iaitu jauh lebih besar daripada saiz tubuhku yang lebih kecil. Bagiku, ia lebih selesa.
Sedangkan baju ini pula lebih mengikut bentuk tubuh. Terserlahlah bentuk tubuhku yang sebenarnya dengan gaun ini. Walaupun tiada seinci tubuhku yang terdedah, tetapi aku masih berasa malu kerana tidak biasa.
"Ifa, dah ke belum?"
Ketukan di muka pintu bilik persalinan itu memeranjatkan aku yang sedang kalut sendiri.
"Kejap mama. Ifa nak keluarlah ni!" laungku dari dalam. Aduh, apa-apa pun aku mesti keluar. Kasihan mama yang sudah lama menunggu. Lalu, dengan berat hati aku melangkah keluar selepas meletakkan tudung di kepala. Sekadar menutup rambutku yang terdedah. Takut juga sekiranya ada pengunjung lelaki di situ. Free saja mengumpul dosa. Dosa besar pulak tu!
"Amboi, cantiknya menantu mama," kata mama sebaik saja aku keluar dari fitting room. Kedua-dua belah tangan mama mencapai bahuku lalu ditilik setiap inci tubuhku.
Merona wajahku apabila dipuji sebegitu. Apatah lagi apabila aku menyedari kehadiran dua pembantu butik di situ. Mereka tersenyum melihatku. Entah untuk apa mereka tersenyum aku sendiri tidak mengerti.
"Cantiklah Ifa. Padan sangat dengan Ifa. Kalau Ifa pakai ni memang tak berkelip mata Rizal nanti. Kita beli ya?"
"Tapi mahal sangat la ma. Sayang rasanya nak keluarkan RM700.00 untuk beli baju ni!" Aku cuba berkompromi dengan mama. Berharap agar mama faham dengan apa yang aku fikirkan. Gajiku sebagai account executive tidak seberapa. Walaupun hakikatnya aku punya suami yang kaya-raya, tetapi ia tetap tidak merubah kehidupanku. Nampak saja tinggal di rumah mewah, tetapi kehidupanku tidak semewah dan sebahagia yang difikirkan.
Boleh dikatakan hampir keseluruhan barang dapur aku yang sediakan dengan menggunakan duit aku sendiri. Yusrizal jarang sekali memberikan aku duit untuk berbelanja seperti lazim yang dilakukan oleh seorang suami. Sementelah pula dia jarang menyentuh barang-barang yang aku beli dan hidangan yang aku sediakan. Kebiasaannya, aku hanya memasak untuk diriku sendiri. Mungkin itulah yang difikirkan oleh lelaki itu. Untuk apa dia memberikan aku duit sekiranya dia langsung tidak memakannya.
Lelaki itu hanya akan memberikan aku duit sekiranya dia terniat untuk berbuat demikian. Dan selalunya dia tidak akan memberikannya secara langsung kepadaku. Dia hanya akan meninggalkan di atas meja makan bersama satu nota kecil yang menyatakan itu adalah untuk perbelanjaan harianku. Begitulah seksanya kehidupanku bersama Yusrizal. Dia bukan sahaja menyeksa aku secara zahir tetapi juga batin.
"Alah, tak payah nak kasi alasan kat mama. Kita beli aja gaun ni. Mama belanja!"
Terkejut aku dengan kata-kata mama itu. Masakan mama hendak belikan gaun itu untukku. Ah, segannya. Bukannya murah pulak tu. Nanti apa pula kata Yusrizal dan papa?
"Eh, tak payahlah susah-susah mama. Okeylah... Ifa beli. Biar Ifa yang bayar sendiri."
"Dah, tak payah nak mengada-ada. Mama belanja! Sekarang Ifa pergi salin baju ni," arah mama dengan suara tegasnya.
Kecut aku dibuatnya. Baru pertama kali aku melihat wajah mama segarang ini. Patutlah Nisa mengatakan yang mamanya juga seorang yang garang dalam kelembutannya itu. Hari ini baru aku dapat melihatnya. Suprise! Suprise!
Selesai urusan mama, dia mengikut aku pulang ke rumah. Risau juga aku sekiranya mama bertanya ke mana anak lelakinya itu. Jawapan apa yang harus aku berikan kerana hari cuti begini selalunya Yusrizal akan menghabiskan masa dengan kekasih kesayangannya. Lelaki itu jarang sekali melekat di rumah. Nampaknya aku terpaksa menipu lagi. Hai, banyak sungguh penipuan yang telah aku lakukan semenjak berkahwin dengannya.
Namun, aku sedikit hairan apabila sampai di rumah, kereta milik Yusrizal ada terparkir di porch. Hairan juga aku. Yusrizal tak keluarkah hari ni? Selamat aku daripada soalan mama dan yang pastinya aku tidak perlu menipu lagi.
"Masuklah mama. Rumah semak sikit. Ifa tak sempat nak mengemas hari ni." Sopan aku menjemput mama masuk ke dalam rumah.
"Semak apa macam ni Ifa. Cantik aje mama tengok. Pandai Ifa hias rumah. Nampak ringkas tapi cantik," puji mama sambil matanya galak meliar ke sekeliling rumah. Seperti pengkritik pula aku melihatnya.
Segan pula aku dengan mama. Walaupun sudah berusia tetapi tenaga mama masih utuh. Boleh dikatakan keseluruhan hiasan dalam rumahnya dan landskap luar adalah kerja mama. Mama memang meminati bidang hiasan dalaman dan mempunyai ijazah dalam bidang itu. Tetapi minatnya hanya direalisasikan ke atas rumahnya sahaja kerana papa tidak membenarkan mama bekerja. Betul juga bila aku fikirkan tindakan papa. Untuk apa mama bekerja sedangkan harta yang papa kumpul memang tidak habis dimakan.
"Rizal mana ni, Ifa?"
"Ada kat atas kut. Ifa pergi tengok."
"Tidurlah tu!" gumam mama.
Aku hanya tersenyum.
"Mama duduklah dulu, ek. Ifa pergi kejutkan abang kejap."
Mama mengangguk. Aku mula mendaki anak tangga menuju ke bilik Yusrizal. Gentar juga hatiku untuk memasuki biliknya. Selama ini Yusrizal memang melarang keras aku menjejakkan kaki ke bilik itu. Tetapi untuk hari ini aku terpaksa melanggar larangannya.
Aku mengetuk pintu bilik Yusrizal perlahan. Takut didengari mama. Hairan pula orang tua itu nanti. Masakan hendak masuk ke bilik sendiri pun perlu ketuk dahulu. Tiada balasan! Selepas berfikir panjang aku memulas tombol pintu biliknya lalu menjengah ke dalam. Benar seperti yang dikata mama, Yusrizal kelihatan enak berselubung. Dia masih belum bangun tidur sedari pagi lagi. Mata mestilah mengantuk kalau hampir subuh baru nampak batang hidungnya.
"Abang..." panggilku perlahan. Takut pula kalau-kalau memeranjatnya lelaki itu.
"Abang...!" Sekali lagi aku memanggil. Namun masih tiada balasan. Alah, liatnya nak bangun. Apa yang harus aku lakukan? Teragak-agak aku hendak menyentuhnya. Tetapi jalan apa yang ada?
"Abang...!" panggilku bersama goncangan lembut di bahunya. Perlahan-lahan Yusrizal membukakan mata. Kelihatan payah benar suamiku hendak memfokuskan pandangan. Sedangkan aku sudah gementar di dada menanti reaksinya apabila melihat aku nanti.
Seperti yang aku jangkakan. Pantas Yusrizal bangun. Matanya tajam merenungku. Aku terus menunduk. Tidak berani menentang pandangannya. Tambahan pula dia tidak berbaju. Hanya berseluar pendek. Malu aku melihatnya.
"Kenapa kau masuk bilik aku ni? Kan aku dah cakap, jangan masuk bilik aku. Kau tak faham ke?"
Bergegar tubuhku mendengar suaranya yang lantang itu. Hilang kata-kata yang telah aku hafal tadi.
"Apesal kau diam?"
"Se.. se.. be.. benarnya mama abang datang. Mama ada kat bawah. Ifa dah ketuk pintu tadi, tapi abang tak dengar."
"What? Mama datang?" Pantas saja Yusrizal melompat dari katil. "Kenapa kau tak cakap awal-awal?"
Membulat mataku melihat gelagat Yusrizal yang kelam-kabut itu. Laju saja kakinya melangkah ke bilik air selepas mencapai tuala. Terpinga-pinga aku dengan gelagat Yusrizal. Namun beberapa saat kemudian dia keluar semula.
"Aku nak kau bawa apa-apa yang patut barang kau masuk ke dalam bilik ni. Lepas tu kau kunci pintu bilik kau. Aku tak nak mama tahu yang kita duduk bilik berasingan. Lagi satu kemas katil ni. Aku nak mandi."
Selesai ‘menyampaikan amanat’ kepadaku dia kembali semula ke dalam bilik air. Aku pula tidak menunggu lama. Pantas kakiku menuju ke bilikku dan mencapai apa yang patut bagi memindahkannya ke bilik Yusrizal. Selepas mengemas katil Yusrizal, aku turun mendapatkan mama. Kasihan mama terpaksa menunggu lama.
"Hah, mana Rizal? Dah bangun belum?" tanya mama.
"Kejap lagi abang turun. Dia tengah mandi," beritahuku.
"La, baru nak mandi? Isy, apalah nak jadi dengan budak tu! Tak berubah perangai walaupun dah kahwin. Kamu nasihatlah sikit suami kamu tu. Jangan dibiarkan sangat. Jangan sampai dia ingat kamu tak kisah, nanti lagi menjadi perangainya. Zaman bujang dulu bolehlah. Tapi sekarang dah ada isteri. Buat cara dah ada isteri. Bukan sesuka hati aje nak bangun ke tak nak bangun," leter mama.
Aku hanya tersenyum mendengar bebelan mama.
"Yalah, nanti Ifa nasihatlah abang tu. Lagipun kami baru kahwin ma. Mungkin abang dah biasa macam tu. Tak biasa lagi hidup berumah tangga ni," ujarku membela Yusrizal.
Terpaksalah aku cakap begitu. Takkanlah aku hendak join mama mengutuk suamiku. Nampak sangatlah nanti yang aku juga tidak menyenangi sikapnya yang satu itu. Eh, buka satu... tapi banyak!!!
"Mama duduklah dulu. Ifa nak ke dapur buat air. Kesian mama terpaksa tunggu lama. Mesti dahaga."
Mama hanya mengangguk. Aku menuju ke dapur lalu menyediakan minuman untuk kami bertiga. Nescafe susu menjadi pilihanku kerana kedua-dua beranak itu memang sangat gemarkan minuman itu.
Selepas siap aku menatang dulang yang berisi air dan sedikit kuih-muih ke ruang tamu.
"Minumlah mama. Ni ajelah yang ada. Ifa tak sempat nak beli barang-barang dapur lagi."
"Yalah..." kata mama lalu mencapai cawan dan mencicip sedikit minuman yang aku sediakan.
Dalam masa yang sama Yusrizal melangkah turun. Terus saja lelaki itu mendapatkan mamanya. Dicium tangan dan pipi wanita itu. Mama kelihatan gembira dengan perbuatan anaknya itu.
"Dah lama sampai ma?" tanya Yusrizal.
"Hmmm... dah nak balik pun," ujar mama. Nadanya seperti sedikit merajuk.
"Alah, sorrylah ma. Rizal mengantuk sangat. Ada kerja yang perlu Rizal selesaikan semalam. Lepas subuh baru Rizal tidur," bohong Yusrizal. Mungkin untuk menyedapkan hati wanita itu. Sedangkan aku isterinya lebih tahu hakikat sebenarnya.
Namun aku sedikit tersentak apabila suamiku itu melabuhkan punggung di sebelahku. Begitu hampir sehingga menghilangkan jarak antara tubuhku dan tubuhnya. Itu semua menjadikan aku tidak selesa. Maklumlah, sebelum ini tidak pernah pun dia menyentuhku, apatah lagi hendak duduk berdua serapat ini. Memang mustahil!
"Yalah..." kata mama sekadar menerima alasan anak lelakinya itu.
"Minumlah bang," pelawaku kepada Yusrizal.
Suamiku itu menganggukkan kepala sambil menghadiahkan senyuman manis buatku. Hatiku sedikit terusik dengan senyuman itu. Kacaknya dia. Tangan yang memegang cawan terasa sedikit bergegar. Nasib baik Yusrizal cepat mengambilnya dari tanganku. Kalau tidak mungkin mama akan perasaan rasa gementarku itu.
"Tadi sayang pergi beli apa dengan mama?"
Gulp! Sayang? Terasa tidak tertelan kuih yang baru kujamah. Suaranya lembut dan romantik sekali. Kukira panggilan sayang itu sudah tidak mungkin kudengar tetapi nampaknya hari ini aku telah diberi peluang untuk mendengarnya.
"Beli baju. Tapi mama yang belikan untuk Ifa," jawabku perlahan.
"Beli baju?" Terangkat sedikit kening Yusrizal.
"Haah, Rizal. Cantik sangat Ifa bila pakai baju tu. Sebab tu mama belikan untuk dia. Rizal nak tengok? Mana Ifa baju yang kita beli tu?"
"Errr... ada kat sana," jawabku sambil menunjuk ke arah meja makan yang penuh dengan beg kertas di hujung ruang tamu yang luas itu.
"Pergilah ambil. Kasi Rizal tengok."
"Errr... tak payahlah kut," bantahku lembut.
"La... apa pula tak payah. Kasilah suami kamu ni tengok. Apa yang nak dimalukan?"
"Haah... sayang. Biarlah abang tengok, betul ke cantik baju tu."
Aku tidak punya pilihan melainkan terpaksa membenarkan Yusrizal melihatnya.
"Emmm... cantiknya!" puji Yusrizal.
"Tapi sayang nak pakai ke mana dengan baju cantik macam ni?" tanya Yusrizal lagi dengan muka pelik.
"La... tanya pula Rizal ni. Ke majlis esoklah. Rizal tak pergi ke? Mama tanya Ifa tadi, dia cakap dia tak pergi."
Aku melontarkan pandangan ke arah lelaki itu yang kelihatan sedikit gelisah.
"Eh, mestilah pergi. Abang lupa nak cakap dengan sayang. Nasib baik mama dah cakap. Esok majlis pukul lapan setengah. Ifa siaplah, nanti abang balik jemput Ifa sebab abang ada hal sikit dengan Syam petang esok." Beritahu suamiku.
Hatiku girang tidak terkata. Nampaknya Yusrizal sekadar terlupa. Kufikir lelaki itu memang tidak mahu mengajakku.
SEAWAL pukul lima petang aku sudah memastikan segala-galanya tersedia. Pakaianku sudah digosok. Alatan mekapku juga sudah tersedia. Tinggal untuk dipakai sahaja. Terasa tidak sabar pula hendak menggayakan pakaian yang dibeli oleh mama untukku pada majlis malam ini. Apatah lagi aku bakal berjalan beriringan dengan suamiku pula. Alangkah indahnya. Aku akan pastikan penampilanku sedikit berbeza malam ini. Biar dapat mencuri sedikit tumpuan Yusrizal.
Yusrizal sedari pagi lagi sudah keluar rumah bersama beg kecil. Apa pula yang berada di dalam beg itu tidak pula aku ambil tahu. Mungkin dia pergi berjumpa dengan Syam seperti yang dia beritahuku semalam.
Namun, sehingga pukul sembilan malam, batang hidung suamiku langsung tidak kelihatan. Aku mula gelisah. Pada fikiranku, tentu majlis sudah bermula. Mana pergi suamiku ini? Ah... mungkin dia ada hal kut? bisikku sekadar untuk menyedapkan hati.
Aku melabuhkan punggung di sofa sambil sesekali mataku menjengah keluar apabila terdengar bunyi enjin kereta menyusuri di depan rumahku. Tetapi aku hampa. Suamiku masih juga tidak kelihatan. Aku melihat jam di dinding. Sudah menunjukkan pukul sembilan lima belas minit malam. Aku terus-terusan melihat jam itu sehingga tidak sedar bila masa aku terlelap.
Apabila aku sedar hari sudah pagi. Pantas aku bangun dan menjengah keluar. Kelihatan kereta Yusrizal elok sahaja terparkir di porch. Fahamlah aku kini dengan apa yang berlaku. Suamiku itu memang tidak berniat hendak membawaku ke majlis itu. Telahanku semakin kuat apabila menerima panggilan daripada mama. Kata mama, anak kesayangannya itu memberitahunya yang aku tidak sihat dan tidak dapat menghadiri majlis itu.
Aku tidak punya pilihan melainkan mengiakan saja kata-kata Yusrizal itu. Tetapi hatiku pedih apabila mama memberitahu ada seorang wanita menemani Yursizal pada malam itu. Kata mama wanita itu adalah client syarikat. Sedangkan firasat aku lebih kuat mengatakan itu adalah Anne. Hancur luluh hatiku saat itu. Air mata membasahi pipiku. Sedarlah aku akan kedudukanku di sisi Yusrizal sekarang. Aku ibarat patung yang tidak bernyawa bagi dirinya.
Air mata yang mengalir aku kesat apabila terdengar ketukan di pintu bilik tidurku. Hilang berterbangan semua ingatanku pada kenangan yang perit itu. Aku terfikir untuk apa aku mengingatinya lagi, sedangkan kutahu ia hanya akan mengundang air mataku. Tetapi walau kucuba untuk melupakannya, ia tetap menjelma tanpa diundang. Seterusnya menambahkan perasaan benciku terhadap bekas suamiku itu.
"Ifa dah tidur ke?" Terdengar suara ibu di luar bersama ketukan-ketukan kecil. Pantas aku bangun mendapatkan cermin, menilik sedikit mataku yang membengkak akibat terlalu lama menangis. Bedak Miyami aku capai dan menempek sedikit di wajah untuk menghilangkan kesuraman di wajahku ini.
"Kejap ibu!" pekikku.
Setelah memastikan semuanya berada dalam keadaan baik, barulah aku membuka pintu. Sememangnya dari tadi lagi aku mengunci pintu. Tidak mahu tertangkap oleh ibu dan abah dalam keadaan aku bersedih begini. Kerana aku tahu hati mereka akan terluka sekiranya melihat aku bersedih. Maklum sajalah hanya aku permata hati mereka.
"Ada apa bu?" tanyaku setelah membuka pintu.
Seboleh-bolehnya aku ingin berwajah ceria.
"Kenapa mata Ifa merah?" tanya ibu, risau. Tangannya ramah menyentuh wajahku.
Aku hanya tersenyum sumbing sambil menggeleng perlahan.
"Ifa ngantuklah, bu. Sebab tu mata merah. Ibu bukan tak tahu anak ibu ni, kalau mengantuk sangat sampai meleleh air mata," dalihku. Semetelah pula memang sifatku begitu. Kukira ibu pun sudah faham benar dengan sifatku yang satu ini. Mataku akan berair seperti orang menangis jika aku terlalu mengantuk. Dan ini kukira alasan yang amat munasabah buatku.
Ibu menggeleng kepala sambil tersenyum.
"Kalau mengantuk, tidurlah. Jangan memaksa diri, kan dah merah mata tu? Esok nak pergi kerja dengan mata merah tu ke? Kang dah tak cantik anak ibu," ujar ibu lembut.
Aku tersenyum manis membalas kata-kata ibu. Rasa bersalah semakin membukit apabila mendengar kata-kata ibu. Maafkan Ifa ibu, sebab menipu ibu. Ifa tak nak susahkan hati ibu dan abah.
"Kejap lagi Ifa tidurlah, ek? Emmm... ibu datang bilik Ifa ni ada apa-apa ke bu?"
"Tak ada apa-apa. Ibu tengok bilik Ifa cerah tadi. Sebab tu ibu datang tengok, dah tidur ke belum anak ibu ni."
"Ooo... kejap lagi Ifa tidur. Sikit lagi, Ifa nak siapkan kerja Ifa tu. Ifa pun dah tak tahan... ngantuk dah ni," kataku.
Ah, kerja apa sangatlah yang aku buat melainkan bersedih saja dari tadi.
"Yalah, cepat tidur ya. Nanti terlewat bangun pulak esok. Ibu pun nak masuk tidur ni," ujar ibu.
Aku hanya mengangguk. Tetapi saat ibu ingin berpaling, aku terperasankan sesuatu. Pantas tangan ibu kucapai. Ibu yang terkejut dengan perbuatanku itu mengerutkan dahi tidak mengerti.
"Kenapa, Ifa?"
"Kenapa muka ibu pucat?"
Wajah ibu kuamati. Memang pucat sekali. Hairan pula aku sebab pagi tadi ibu kelihatan sihat sahaja.
"Tak ada apa-apalah... ibu cuma pening kepala aja. Dari petang tadi lagi berdenyut-denyut kepala ni. Sebab tu ibu ajak abah balik dulu tadi. Lagipun Rizal ada temankan Ifa. Dia pun suruh ibu dengan abah balik dulu lepas makan sebab tengok ibu macam dah tak tahan sangat," terang ibu.
Oh, patutlah ibu dan abah tinggalkan aku dengan Yusrizal tadi. Aku ingatkan ibu dengan abah memang berniat untuk tinggalkan aku dengan lelaki itu. Berdosanya aku sebab terfikir yang bukan-bukan dengan orang tuaku tadi.
"Kenapa tak beritahu Ifa dulu tadi?"
"Ibu memang saja minta Rizal jangan beritahu Ifa... sebab Rizal kata tadi ada benda yang nak dibincangkan dengan Ifa. Kalau beritahu, mesti Ifa nak ikut ibu balik, kan?"
Betul juga apa yang difikirkan ibu itu. Aku memang akan cepat risau. Apatah lagi kalau ia melibatkan orang tuaku.
"Dahlah, Ifa pergilah tidur. Nanti lewat pulak bangun esok. Kelas Ifa pukul lapan, kan? Tak usah nak risaukan ibu. Esok lepas bangun tidur, okeylah ni."
"Yalah, ibu pun rehat cukup-cukup. Muka ibu pucat sangat. Risau Ifa tengok."
"Yalah... ibu nak masuk tidurlah ni. Selamat malam sayang..." ucap ibu kepadaku.
"Selamat malam, bu."
Sepeninggalan ibu, aku kembali termenung di atas katil. Mataku langsung tidak mengantuk seperti yang aku katakan kepada ibu tadi. Itu semua hanya alasan semata.
Hari ini adalah hari yang paling sedih buatku selepas aku kembali mendapatkan semangat diri yang hilang beberapa tahun yang dulu. Aku telah berazam untuk tidak bersedih lagi. Tetapi nampaknya aku telah melanggar azam aku itu.
Ya Allah, hatiku tidak tenang sekali pada saat ini. Apa yang harus aku lakukan? Terfikir hendak mengerjakan solat sunat dua rakaat dan membaca al-Quran, aku uzur pula. Jadi apa yang harus aku lakukan? Lebih baik aku tidur. Mungkin pagi esok aku akan lebih tenang.
Lalu, aku merebahkan diri di atas katil selepas menutup suis lampu dengan membiarkan cahaya lampu tidur menyimbahi ruang bilikku ini. Namun, baru sahaja aku hendak melelapkan mata, telefon bimbitku menjerit nyaring dengan tiba-tiba.
Aku mengintai jam kecil di atas meja. Sudah menunjukkan pukul dua belas lima belas minit malam. Siapa pula yang menelefonku tengah-tengah malam begini? Lalu, tanpa membiarkan telefon itu menjerit lebih lama, aku mencapainya. Tertera nombor yang tidak kukenali di skrin. Dahiku berkerut tetapi panggilan itu tetap kujawab.
"Helo...."
"Helo, Ifa. Belum tidur lagi?"
Aku pantas mematikan talian apabila suara si pemanggil menyapa gegendang telingaku. Tidak mahu suara itu lebih lama menyapaku. Perasaan benci padanya hari ini begitu memuncak.
Beberapa saat kemudian telefon bimbitku kembali menjerit. Dan si pemanggil adalah orang yang sama. Laju sahaja tanganku menekan punat cancel. Tidak ingin aku menjawab panggilan daripada lelaki itu. Untuk apa dia menghubungi aku? Adakah hanya ingin menambah rasa sakit hatiku ini? Dan aku akan pastikan dia tidak akan berjaya.
Kali ketiga telefon bimbitku berbunyi lagi, terus aku menukar modenya ke silent. Biarlah berapa kali telefon ini hendak berbunyi pun, pasti ia tidak akan menggangguku lagi kerana ia sudah aku bisukan. Biar padan dengan muka Yusrizal. Biar dia rasa sakitnya hati apabila tidak dipedulikan.
KEESOKAN harinya, apabila aku bangun, benda yang pertama yang aku cari sudah semestinya telefon bimbitku. Bukan untuk melihat berapa missed calls ataupun mesej yang telah ditinggalkan buatku semalam, tetapi untuk melihat pukul berapakah aku mencelikkan mata daripada mimpi-mimpi yang tidak berapa indahku semalam. Kadang-kadang aku terfikir, untuk apalah aku bersusah payah melihat jam di telefon bimbitku sedangkan jam kecil sudah tersedia di atas meja. Tetapi itulah kesan teknologi yang perlu aku akui keberkesanannya terhadap pengguna-pengguna seperti aku. Ternyata pengusaha-pengusaha telefon bimbit telah berjaya membuatkan telefon bimbit sebagai suatu aset yang sangat berharga pada masa sekarang.
Tetapi nampaknya niatku terpaksa ditangguhkan buat sementara apabila mataku disapa beberapa perkataan di skrin telofon bimbitku.
3 messages received
15 missed calls
Fuh, banyaknya! Tak tidur ke Yusrizal semalam? Tak ada kerja agaknya melainkan mengacau aku. Pantas punat ‘read’ aku tekan. Hendak juga aku lihat pesanan apakah yang lelaki itu tinggalkan untukku.
Syg nape x jawab cal abg?
Itulah mesej pertama Yusrizal.
Sebab aku malas nak cakap dengan kaulah, bisikku sendirian. Menyakitkan hati saja. Mesej kedua aku buka dan kubaca.
Syg dah tido ke?
Mesej ketiga Yusrizal. Kulihat masa mesej itu diterima pada pukul satu lima puluh lima pagi? Isy... tak tidur ke mamat ni?
Xpela kalo syg dah tido. Nite syg. N sori pasal td. Abg x brmaksud nk igtkn syg tntg peristiwa dlu. Truly sori. Luv u so much.
Eiii... meremang pula aku rasa belakang tengkukku ini. Love you konon! Senang saja lelaki itu mengucapkan kata sayang.
Maklumlah, lelaki playboy seperti Yusrizal memang mudah menuturkan kata-kata sayang kerana bagi mereka ucapan itu tiada maknanya. Hanya untuk suka-suka.
Tetapi bagi aku ucapan itu sangat bermakna. Ia melambangkan rasa cinta yang tidak terhingga kepada pasangan dan bukan untuk dibuat main seperti yang dilakukan Yusrizal. Dan aku tidak akan mudah percaya pada ucapan cinta yang dilafazkan oleh lelaki seperti Yusrizal. Tak mungkin!
Selepas membuang semua mesej dari inbox, aku meletakkan telefon bimbitku di meja solek. Sempat juga aku meneliti mataku di cermin. Manalah tahu kalau-kalau mataku sembab pula pagi ini kerana menangis semalam. Aku menarik nafas lega kerana tangisanku semalam tidak meninggalkan kesan.
Aku tersenyum di hadapan cermin. Terasa bodoh pula aku menangisi semua kenangan itu. Aku menangis, sedangkan mungkin Yusrizal sedang ketawa kesukaan kerana berjaya membuatkan aku menangis. Sudah tentu ia umpama kemenangan buat lelaki itu. Ah, untuk apa lagi aku memikirkan lelaki itu? Lebih baik aku mandi dan membersihkan diri.
Selepas berpuas hati dengan penampilanku pagi ini, aku turun ke bawah. Sempat kulihat jam di tangan. Sudah menunjukkan pukul tujuh pagi. Aku perlu bertolak awal ke UUM hari ini kerana aku punya kelas tepat pukul lapan pagi. Hai, agak malang aku semester ini. Tidak seperti semester sebelumnya, kelasku setiap hari akan bermula pada pukul sepuluh pagi. Dapatlah aku menolong ibu apa yang patut dahulu sebelum bertolak ke UUM. Tapi tidak pada semester ini. Terutama sekali pada hari Ahad dan Rabu.
Suatu perkara yang tidak dapat aku biasakan lagi apabila terpaksa bekerja pada hari Ahad. Kalau di negeri lain, hari inilah yang ditunggu-tunggu, tetapi tidak pada pekerja-pekerja yang mencurahkan khidmat di negeri Kedah ini. Tetapi nasib baik jugalah aku bekerja sebagai pensyarah. Cutiku juga sudah semestinya lebih daripada pekerja-pekerja lain.
Aku menuruni anak tangga untuk ke dapur. Tiba-tiba perasaan hairan melanda. Selalunya waktu-waktu begini ibu sudah sibuk di dapur. Aku yang berada di bilik tingkat atas pun akan terbau aroma masakan ibu. Tetapi untuk hari ini tiada pula aroma itu menyapa hidungku. Takkan ibu tak bangun lagi? Mustahillah! Abah yalah jugak. Sebab abah akan masuk pejabat pukul sembilan pagi. Tetapi itu tidak bermakna ibu juga perlu bangun lewat. Jarang sekali ibu berbuat begitu. Sebagai seorang isteri, ibu akan memastikan semuanya tersedia awal untuk suami dan anak tercinta. Aku tahu itu kerana aku juga pernah menjadi seorang isteri suatu ketika dahulu.
Pantas aku mencari kelibat ibu. Tempat pertama tentulah di dapur. Tetapi tidak pula kelihatan ibu di situ. Ke mana pula ibu ni?
Aku keluar dari ruangan dapur dan menuju ke ruang tamu pula. Manalah tahu kalau-kalau ibu ada di situ. Dan jantungku bagaikan berhenti berdegup apabila terpandang tubuh kaku ibu di situ. Terlepas beg berisi laptop di tanganku ini. Laju sahaja aku mendapat ibu lalu memangku kepalanya. Apa yang terjadi kepada laptopku itu aku tidak peduli. Apa yang lebih penting sekarang ialah ibu.
"Ibu, kenapa ni? Ibu bangun bu!" panggilku bersama tangisan. Pipi ibu kutepuk berkali-kali. Tetapi ibu masih tidak juga tidak sedarkan diri.
Tidak pernah ibu pengsan begini. Hatiku dilanda kerisauan yang teramat. Ya Allah... janganlah apa-apa yang buruk berlaku pada ibuku.
"Ibu bangun bu, jangan buat Ifa takut bu...." Rayuku lagi. Tetapi tubuh ibu masih juga kaku.
"Abah!!!!"

0 comments:
Post a Comment