APA KATA HEROIN?

"Mungkin apa yang I katakan ni susah untuk you percaya. I faham kenapa you berfikiran seperti itu. I perempuan yang bertanggungjawab memusnah rumahtangga you. Sudah tentu sukar untuk mempercayai kata-kata perempuan seperti I, kan?" Anne menghentikan bicaranya buat sementara waktu. Matanya tunak merenung ke mataku.

APA KATA HERO?

"Abang faham kalau Ifa masih belum bersedia. Tapi abang tak nak tidur sorang-sorang. Abang kan dah ada isteri. So, abang nak tidur dengan isteri abang," ujarnya tenang ketika aku menyuarakan hasrat hatiku itu.

Antara Benci Dan Rindu 9

"IFA... temankan ibu ke Alor Setar. Ifa tak kerja hari nikan?" pinta ibu pada suatu pagi. Pelik pula dengan permintaan ibu ini. Selalunya ibu hanya akan keluar bershopping jika ditemani oleh abah saja. Maklumlah perempuan kalau bershopping memang tak ingat dunia. Bila abah ada, semua barang yang hendak dibeli haruslah dapat kebenaran daripadanya.

Kadang-kadang geli hati pula apabila aku memikirkan semua itu. Seringkali aku melihat ibu memuncung kerana tidak dapat berbelanja untuk barang kesukaannya. Membazir, kata abah. Tetapi itu semua tidak membuatkan ibu memberontak hebat. Sekadar rajuk kecil yang sudah tentu bisa dipujuk oleh abah. Dalam keadaan apa jua pun, suami harus diutamakan.

"Abah Ifa tu tak dapat temankan ibu. Dia yang suruh ibu pergi dengan Ifa," jelas ibu tanpa sempat aku bertanya. Pandai betul ibu membaca fikiranku.

"Boleh ibu. Ifa tak kisah pun. Ifa pun ada barang jugak nak beli. Emmm... ibu nak beli apa?" tanyaku ingin tahu.

"Nak beli apa lagi? Barang dapurlah. Dah tak ada apa kat dapur tu. Nak masak untuk tengah hari nanti pun tak boleh. Nak harapkan kamu? Huh, masuk dapur pun liat."

Padan muka aku! Dah kena peluru tanpa mata dari ibu. Apa lagi yang aku mampu lakukan melainkan tersengih malu.

Dalam diam aku mengakui kata-kata ibu itu.

"Alah ibu ni, selalu nak mengata Ifa. Yalah, yalah... hari ni Ifa temankan ibu. Lepas tu biar Ifa yang masak hari ni. Kita tengok siapa yang handal memasak," kataku cuba mencabar ibu.

"Eleh, nak lawan ibu konon! Cara yang kamu masak dengan ibu sama aje, sayang. Bukan ke ibu yang ajar kamu masak? Sama aje rasanya nanti," tempelak ibu.
"Eh, tak adalah! Tak sama punya. Sebab Ifa masak pakai buku resipi. Ha ha ha...." Aku tertawa kuat. Seronok dapat mengenakan ibu. Ketawaku semakin kuat apabila ibu menarik muka masam.

"Mengarut aje kamu ni. Cepatlah siap! Nanti abah balik kita tak masak-masak lagi, mahunya muncung seminggu tak hilang." Kata ibu selamba.

Aku tertawa geli hati. Mungkin ibu serik. Yalah, pernah sekali abah balik, tapi ibu belum masak, naik angin orang tua itu. Nak pulak mood abah ketika itu tidak begitu baik gara-gara dimarahi orang atasan. Terpaksalah aku keluar membeli lauk di gerai Pak Hashim.


AKU bersandar di pintu kereta. Peluh yang memercik di dahi kukesat dengan menggunakan tisu yang memang tidak akan aku lupa untuk bawa bersama. Maklumlah aku ni kuat berpeluh. Terutama sekali di bahagian hidung. Orang kata kalau kuat berpeluh di bahagian hidung tandanya kuat cemburu. Mungkin benar juga.

Tiba-tiba fikiranku menjengah kenangan lima tahun lepas.

Aku masih ingat kejadian pada suatu malam. Ketika itu aku sedang menyiapkan makan malam. Jam sudah menunjukkan pukul sepuluh malam. Entah mengapa tiba-tiba Yusrizal mengadu kelaparan. Sedangkan pada waktu itu sudah tiada apa-apa makanan yang tinggal. Aku sudah menghabiskan kesemuanya. Sementelah pula, Yusrizal memang tidak gemar makan di rumah. Selama kami berkahwin boleh dikira berapa kali dia merasa hidangan yang aku sediakan. Itu pun jika ada ahli keluarga, sanak saudara ataupun kawan-kawan yang makan di rumah. Semua itu dilakukan kerana tidak mahu mereka semua menghidu akan kedinginan rumah tangga kami.

"Dah siap belum?" tanya Yusrizal dengan nada kasar. Terkejut aku dibuatnya. Bergegar tubuhku mendengar suaranya yang bagaikan halilintar membelah bumi. Hampir terlepas mangkuk yang berisi air asam jawa yang kupegang. Begitulah Yusrizal. Tidak pernah ingin bercakap dengan nada lembut apabila berdua denganku.
"Kejap lagi bang. Ifa nak masukkan air asam jawa ni. Lepas tu siaplah," ujarku tergagap-gagap.

"Lembab betul!"

Aku mendiamkan diri. Walaupun sedikit terasa dengan herdikan suamiku itu, tetapi aku hanya mengambil langkah mudah dengan berdiam diri. Kerana aku tahu kalau aku menjawab, makin berapi amarah Yusrizal kepadaku. Itu hanya sedikit jika nak dibandingkan dengan sebelum ini. Aku sudah lali dengan semua itu.

Tanpa melengahkan masa aku terus menyiapkan kerja-kerja memasakku. Kalau lambat nanti makin teruk aku disemburnya. Setelah siap, pantas aku menghidangkannya di atas meja di ruang makan. Kemudian aku memanggil Yusrizal yang sedang menonton televisyen di ruang tamu. Cepat sahaja Yusrizal menapak ke meja makan. Mungkin sudah lapar benar. Aku juga pantas menyendukkan nasi ke pinggannya. Namun, apabila aku ingin mengambil lauk untuknya, dia pantas menghalang.
"Tak payah nak layan aku macam putera raja. Tahulah aku nak ambil sendiri. Dah, pergi! Nanti hilang selera aku nak makan bila menghadap muka kau!"

Perlahan-lahan aku meletakkan kembali sudu ke tempat asalnya. Berkira-kira hendak naik ke bilik. Sedikit perasaan kecewa hadir dalam diri dengan kelakuan Yusrizal. Tiada langsung ucapan terima kasih padaku yang telah bersusah payah menyediakan makanan untuknya. Malah, dihalaunya pula aku.

Belum pun sempat kakiku memijak anak tangga pertama, aku terdengar lelaki itu memanggil namaku. Pantas aku mendapatkannya.

"Ada apa bang?"

Yusrizal menghadiahkan jelingan tajam sebelum bersuara.

"Kupaskan buah epal kat dalam peti ais tu. Aku nak makan!"

Aku menganggukkan kepala. Pelik juga aku dengan perangai Yusrizal hari ni. Macam-macam pula yang dimintanya. Kalau sebelum ni jangankan nak merasa hidangan yang aku sediakan, malah apa-apa barang dapur yang aku dibeli juga tidak akan disentuhnya. Begitulah bencinya Yusrizal padaku.

Sedang aku leka mengupas buah epal, tiba-tiba aku terdengar telefon bimbit Yusrizal berdering. Pantas saja dia mendapatkan telefon bimbitnya itu.
"Hai, sayang. Kenapa telefon I ni? Takkan dah rindu kut?" sapa Yusrizal pada orang di hujung talian.

Dari lenggok bicara Yusrizal aku sudah dapat mengagak siapakah gerangan yang menelefonnya. Sudah tentu Anne, teman wanita Yusrizal yang seksi itu. Maklumlah... model terkenal.

Yusrizal begitu asyik sekali melayan kekasih hati. Sekejap tersenyum, sekejap ketawa. Suaranya pula lembut dan romantik sekali. Bukan suara yang selalu diperdengarkan pada aku setiap hari. Terlintas di fikiranku, jika Yusrizal mahu melayan aku sebegitu, sudah tentulah aku perempuan yang paling bahagia di dunia ini. Walaupun Yusrizal tidak pernah menganggap aku sebagai isterinya dan selalu mengherdik aku, tetapi itu semua tidak menghalang perasaan sayangku bercambah untuknya.

Kadang-kadang aku tidak mengerti, mengapa aku perlu mencintai lelaki sepertinya? Tetapi apakan dayaku untuk menolak takdir yang Maha Esa. Dia sudah menentukan semuanya. Perasaan cemburu mudah sahaja bermukim di dadaku apabila mendengar perbualan Yusrizal dengan Anne sehingga tidak sedar yang aku sudah terhiris jariku sendiri. Aku hanya tersedar apabila mataku terpandangkan jariku yang sudah berlumuran darah. Waktu itu barulah rasa sakit datang menjengah. Pantas aku menuju ke singki dan mencuci luka itu. Aku merintih perlahan apabila air mengenai bahagian yang luka. Aku tidak mahu Yusrizal menyedari akan situasi itu. Nanti aku juga yang malu.

Setelah yakin darah sudah berhenti mengalir, aku mengesat tanganku. Kemudian aku menyambung semula mengupas epal yang tergendala tadi.

Aku tertawa kecil sambil menggeleng kepala. Akibat cemburu hampir hancur jari aku kerjakan. Sedangkan hakikatnya aku tidak layak untuk cemburu. Sepatutnya aku sedar siapa diriku di sisi Yusrizal. Aku tidak ubah seperti perempuan simpanannya saja. Cuma yang membezakan aku dan perempuan simpanan ialah, aku tidak pernah disentuhnya.

Hampir setahun usia perkahwinan kami, tidak pernah walau sekali pun menggoyangkan iman Yusrizal terhadapku. Maklumlah, dia sudah punya tempat untuk melampiaskan nafsu. Jika hendak dibandingkan aku dengan Anne, memanglah jauh berbeza pada waktu itu. Sudah tentu aku tidak akan mampu bersaing untuk mendapatkan Yusrizal.

Aku sedikit tersentak apabila terasa ada tangan yang menampar kuat bahuku. Hilang bertaburan lamunanku sebentar tadi. Kelihatan ibu sedang memandangku dengan kerutan di dahi.

"Kamu ni kenapa Ifa? Termenung sampai tak ingat dunia sekeliling. Sampai ibu buka pintu kereta pun kamu tak sedar," omel ibuku.

Aku hanya tersengih malu sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Ibu menggelengkan kepala lalu bergerak ke bonet kereta.

Pada waktu itu barulah aku tersedar seperti ada seseorang yang sedang membantu ibu memunggah barang-barang lalu dimasukkan ke dalam bonet kereta.
Pantas aku menjengah ke belakang. Serasa seperti aku kenal lelaki itu.

"Awak??? Macam mana pulak awak boleh ada kat sini?" sergahku pada lelaki itu.

Ke mana saja aku pergi, ada saja wajahnya. Apa yang lelaki ini buat di sini? Takkanlah mengekori aku dan ibu kut. Isy... ini tak boleh jadi ni!

"Abang terserempak dengan ibu tadi. Kesian pulak tengok ibu bawa banyak barang. Sebab tu abang tolong," balas Yusrizal.

"Betul tu. Nak harapkan kamu, entah ke mana sajalah kamu lesap. Bukan nak tolong ibu bawakan barang. Nasib baik ada Rizal ni. Kalau tak, tak tahulah ibu macam mana nak bawa barang yang banyak ni."

Aku mengerutkan dahi.
"Apa pulak bu. Kan ada troli tu. Tolak ajelah sampai ke kereta. Apa yang susah?" Aku membantah. Tidak mahu mengalah.

Ibu memang suka malukan aku. Jatuh air muka di depan Yusrizal. Mesti dia ingat aku pemalas kerana tidak mahu menolong ibu. Padahal dia tidak tahu hal yang sebenarnya. Ibu kalau memilih barang memang lama. Sebab itulah abah tidak membenarkan dia keluar bershopping denganku.

Oleh kerana rasa bosan kerana sedari tadi menunggu ibu memilih barang, aku mengambil keputusan untuk menunggu ibu di kereta sahaja. Ditambah pula dengan manusia yang membanjiri Pasar Raya Tesco hari ini, makin menambahkan rasa sesakku. Sejak kecil aku memang tidak suka dikelilingi orang ramai.

"Pandailah kamu tu nak membela diri. Sudah, ibu dah lapar ni. Jom kita pergi makan dulu. Rizal makan dengan kami sekali ye?" Ibu dengan senang hati mempelawa Yusrizal.

Lelaki itu dengan senang hati pula menerima pelawaan ibu. Aku pelik. Bukankah tadi ibu beria-ia mahu membeli barang dapur sebab nak memasak untuk makan tengah hari. Ni nak makan di kedai pulak. Habis tu, abah nak makan apa tengah hari nanti?

"Tadi, ibu kata nak balik masak. Ni, kenapa nak makan kat kedai pulak ni? Bila abah balik nanti, kita tak masak lagi."

"Ibu dah telefon abah tadi, ajak makan kat luar. Ofis abah pun bukan jauh sangat. Biarlah, sekali-sekala makan kat luar apa salahnya, kan Rizal?"

Yusrizal tersenyum sambil menganggukkan kepala. Mengiakan kata-kata ibu. Mereka kelihatan senang hati sekali. Aku pula yang keresahan. Makan dengan Yusrizal? Erk... naik loya pula tekak aku.

Apalah malang nasib aku hari ini bertemu muka dengannya. Itulah, siapa suruh aku teringatkan dia. Kan dah muncul di depan mata, marah aku dalam hati.



AKU mengetuk-ngetuk meja sambil melihat jauh ke luar melalui cermin kaca sebuah retoran yang dipilih oleh Yusrizal sebagai tempat untuk menjamu selera pada tengah hari itu. Ibu, abah dan Yusrizal sibuk memilih makanan yang pelbagai. Sedangkan aku pula menjadi penunggu setia di meja makan. Aku tidak berniat untuk makan. Seleraku sudah hilang! Kukira hendak menelan dua butir nasi pun sudah tidak mampu. Aku hanya meminta abah membelikan aku teh ais kegemaranku sahaja bagi mengalas perutku tengah hari ini.

Pada mulanya hairan juga orang tuaku kerana aku menolak untuk makan walaupun puas dipujuk. Tidak ketinggalan juga Yusrizal. Katanya, takut perutku masuk angin. Penyibuk! Biarlah perut aku nak masuk angin, bukan perut dia. Yang sibuk sangat tu kenapa? Sifat degilku bukan mudah untuk dilenturkan. Apatah lagi jika melibatkan bekas suamiku itu, lagilah menjadi keras kepalaku.

Aku tetap berkeras tidak mahu makan. Aku berikan alasan yang aku kenyang. Mungkin ibu dan abah malas mahu memujuk lagi, lantas mereka terus berlalu untuk mengambil makanan.

"Hai, termenung jauh nampak!"

Aku mencebikkan bibir. Walaupun mataku masih menghala keluar, tetapi aku sudah tahu gerangan empunya suara itu. Makin menyampah aku dibuatnya.

"Ni, air yang Ifa pesan." Yusrizal menghulurkan gelas berisi minuman kepadaku. Tanpa memandang wajahnya, aku terus mencapai gelas itu dan menghirup airnya. Tidak aku peduli pada mata nakal Yusrizal yang memerhati tingkah lakuku. Yang aku tahu, tekakku harus dibasahkan. Aku memang dahaga saat itu.

Selepas separuh gelas teh ais aku hirup, barulah aku melepaskan straw dari bibirku. Lega rasanya. Terasa sejuk sikit badanku ini. Barulah senang hati. Namun kesenangan itu sedikit terganggu apabila terperasankan mata Yurizal yang masih tidak sedikit pun beralih dari wajahku ini.

"Kenapa pandang saya macam tu?" tanyaku, tidak puas hati. Lain macam saja cara lelaki ini pandang aku. Tiba-tiba otakku berfikir kemungkinan Yusrizal telah mengenakanku. Jangan-jangan dia dah letak ubat tidur kat dalam air ni? Tak pun dia dah pukau aku dengan air ni? Lagipun aku bukan minta dia yang belikan air ini, tetapi abah. Kenapa dia pula yang bawakan minuman untuk aku. Mana abah? Aku pun satu, terus saja minum tanpa berfikir panjang. Kalau betullah dia dah letakkan something kat dalam air ni, maknanya aku sudah terlambat untuk mengelak.

"Mengutuk abanglah tu." Yusrizal serkap jarang. Tetapi nampaknya serkap jarang lelaki itu mengena pula.

"Yang awak pandang saya macam tu, kenapa? Jangan-jangan awak dah masukkan ubat tidur kat dalam air ni. Tu yang awak pandang saya macam tu, nak tengok ubat tu berkesan ke tak."

Kata-kataku disambut oleh ilai ketawa Yusrizal. Tetapi masih lagi dalam nada yang kurasakan agak slow.

"Sampai macam tu sekali prasangka Ifa terhadap abang? Sayang, tak adanya abang nak buat benda-benda tak berfaedah tu. Buang masa aje."

"Habis, mana abah? Kan saya minta abah yang belikan, bukan awak!"

"Abah yang minta abang bawakan kat Ifa," terangnya.

"Yalah, tapi mana abah? Takkan lama sangat pilih makanan?"

Mataku melilau mencari kelibat abah dan ibu. Tetapi tidak pula aku nampak kelibat mereka berdua. Ke mana mereka pergi?

"Abah dan ibu dah nak habis makan pun," ujarnya sambil memuncungkan bibir ke arah meja makan yang terletak di sudut belakang restoran itu.

Aku pantas mengalihkan pandanganku ke situ. Alangkah terkejutnya aku apabila menangkap kelibat mereka. Benar kata Yusrizal. Abah dan ibu sudah hampir selesai makan. Maknanya mereka memang sengaja membiarkan aku di sini bersama lelaki ini.

Tiba-tiba saja aku merasakan ada gunung berapi yang bakal meletus. Sampai hati abah dan ibu buat macam ni. Kalau aku tahu lebih awal ini yang bakal mereka lakukan, sudah tentu aku pulang dulu. Menyakitkan hati aje! omelku di dalam hati.

"Dah, tak payah nak buat muka macam tu. Tak baik tau marahkan orang tua," tegur Yusrizal.

Eleh, nak tunjuk baik konon! Tapi bila difikirkan ada benarnya juga. Berdosanya aku kerana marahkan ibu dan abah. Dengan jelas pulak tu, aku tunjukkan kemarahanku itu. Malu pula aku dengan Yusrizal.

"Saya nak baliklah," beritahuku dan terus mencapai handphone dan dompetku.

Yusrizal yang baru menjamah makanan, sedikit terkejut.

"Eh, takkan dah nak balik. Abang makan pun tak habis lagi. Nanti ibu nak balik dengan siapa?" tanyanya dengan suara yang agak cemas.

"Ada saya peduli awak dah habis makan ke belum? Pasal ibu, awak tak payah nak risaukan. Abah boleh hantarkan. Tak pun apa kata awak buat amal jariah sikit. Tolong hantarkan ibu balik ek," kataku selamba dan berura-ura hendak bangun. Tetapi nampaknya Yurizal lebih pantas. Tanganku digenggamnya kuat. Tanda tidak membenarkan aku berganjak dari tempat duduk.

"Eh, apa pegang-pegang ni? Lepaslah!" marahku sambil cuba melepaskan genggaman tangan sasa itu.

"Abang akan lepaskan, tapi sebelum tu sayang kena janji yang sayang akan temankan abang makan," ugutnya.

Aku mengetap bibir tanda tidak puas hati. Ah, lelaki ini penuh dengan ugutan.

Aku masih cuba melepaskan genggaman tangannya. Tidakku peduli kepada ugutannya itu kerana aku yakin jika aku berusaha pasti akan berjaya. Boleh pakai ke pepatah saat macam ni? Ah, lantaklah. Yang penting tanganku harus dilepaskan.

"Isy, lepaslah. Sakit tahu tak? Tangan dahlah macam gorilla!" Sempat lagi aku mengutuk tangannya itu.

Yusrizal melepaskan tawanya apabila mendengar kata-kataku itu. Kuat pulak tu. Merona wajahku apabila para pengunjung restoran yang duduk berdekatan dengan kami mula hilang minat terhadap makanan mereka kerana mungkin merasakan apa yang berlaku di depan mata mereka saat ini lebih menarik perhatian.

"Eh, awak tak malu ke... semua orang dah tengoklah!"

"Biarlah orang tengok. Abang peduli apa. Kalau Ifa tetap berdegil, abang tak kisah kalau kita perlu begini sampai esok pagi!" ugutnya lagi.

Tak boleh jadi ni! bentak aku dalam hati.

Sudah penat aku mencuba tetapi masih tidak menampakkan hasil. Lenganku sudah berbirat dikerjakan dek manusia bertangan gorilla ni. Peminat-peminat drama sebabak yang aku persembahkan dengan Yurizal saat ini semakin bertambah. Malu tak usah dicakap. Kalaulah ada student aku kat sini, memang kes niaya. Heboh satu UUM nanti, ‘pensyarah fakulti perakaunan main tarik tangan dengan lelaki’!

Abah, ibu tolong Ifa!!! Mataku pantas mencari ibu dan abah. Pandangan penuh mengharap aku lemparkan buat mereka. Berharap mereka sudi menghentikan perbuatan tidak berakal Yusrizal ini.

Dari jauh dapat kulihat riak kerisauan di wajah ibu. Mungkin risau sekiranya Yusrizal melakukan perkara-perkara yang tidak baik terhadapku. Tahu pun risau! Tetapi tinggalkan aku berdua-dua dengan lelaki sewel ni, tak risau pulak.

Aku alih pandangan buat abah pula. Abah tersenyum melihatku. Ah, abah! Waktu gawat macam ni pun boleh senyum lagi. Tetapi senyuman abah disusuli dengan anggukan pula. Apa erti anggukan itu? Aku kurang mengerti. Abah seakan memahami kerutan di dahiku ini. Lalu abah memberikan isyarat mulut dan tangan terhadapku. Barulah aku mengerti. Rupa-rupanya abah mahu aku duduk semula.

Ah, tidak! Aku takkan ikut kehendak lelaki ini. Tetapi kalau aku tak turutkan, aku juga yang bakal malu. Makin ramai pula peminatku nanti. Alamak, tak boleh jadi ni! Pengurus restoran pun dah menjeling semacam ni. Malunya!

Lalu tanpa berfikir panjang aku kembali duduk di hadapan Yusrizal. Lelaki itu lantas tersenyum senang. Mungkin merasakan kemenangan di pihaknya. Aku menjeling tajam. Tak apa, hari ni hari kau! Hari aku belum sampai lagi. Sampai hari aku nanti, tahulah kau! cemuhku di dalam hati.

"Helo, saya dah duduk, kan? So, boleh tak lepaskan tangan saya ni?"

"Okey!" ujar lelaki itu. Masih tersenyum.

Langsung tiada riak bersalah di wajahnya kerana telah memalukan aku. Ah, dasar lelaki muka tembok!

"Rasa macam tak nak lepas. Seronok pulak!"

Aku menjegilkan mata.

Dia tertawa lucu dengan tingkah lakuku itu. Kemudian dia kembali menjamah makanannya.

Aduh, sakitnya tanganku ini. Merahnya! Berbirat pulak tu! Alamak, berapa hari nak hilang ni? Sakitnya hati. Kalau diikutkan mahu aku cekik saja lelaki ini biar mati. Kecik-kecik tak nak mampus, dah besar menyusahkan orang.

"Kenapa? Sakit ke?" Yusrizal bertanya tiba-tiba. Mungkin dia perasan riak wajahku yang berkerut-kerut sambil menggosok lenganku yang digenggamnya tadi.
"Tak adalah, sedap sangat..." jawabku dengan nada ceria yang dibuat-buat. Sudah nampak muka kita berkerut ditanya lagi. Apa dia ingat tangan dia tu lembut macam perempuan?

"Nanti hilanglah tu. Sakit sekejap aje," ujar Yusrizal lebih kepada memujuk. Senang aja cakap, bukan dia yang rasa, tapi aku!

"Ifa..." panggil Yuzrizal apabila aku tidak memberikan apa-apa reaksi terhadap kata-katanya tadi.

Aku memandangnya sekilas. Kemudian kembali menumpukan perhatian pada lenganku yang berbirat kemerahan itu.

"Ifa...!" panggilnya sekali lagi. Kali ini suaranya kedengaran keras sedikit. Mungkin marah kerana aku tidak mengendahkannya.

"Boleh tak cepat sikit makan tu. Kalau macam nilah cara awak makan, sampai bila-bila pun tak luak nasi tu. Saya nak balik ni!" Pantas aku memintas percakapannya. Malas mahu mendengar butir bicaranya yang lebih kepada perkara-perkara yang tidak berfaedah itu.

Wajah Yusrizal sedikit berubah dengan kata-kataku itu. Namun, dengan perlahan-lahan dia kembali menyambung semula makan. Tiada lagi suara yang kedengaran selepas itu. Sehinggalah dia selesai makan. Aku menarik nafas lega. Bermakna aku sudah boleh pulang ke rumah. Cepat saja aku mengemas barang-barangku. Bersedia untuk pulang.

"Nak ke mana tu? Abang belum habis bercakap dengan Ifa lagi ni."

"Apa lagi? Saya nak baliklah. Ibu dengan abah mesti dah lama tunggu!"

"Ibu dan abah agaknya dah sampai rumah dah pun!"

"What?" Aku pantas mengangkat wajah.

Yusrizal hanya tersenyum sambil mengalihkan pandangan ke arah tempat yang diduduki oleh abah dan ibu tadi. Aku juga pantas memusingkan wajahku ke belakang. Benar seperti yang dikatakan oleh Yusrizal. Meja makan yang diduduki oleh ibu dan abah sudah kosong. Bertambah kecewa aku diperlakukan sebegitu. Kenapa ibu dan abah pulang tidak maklumkan kepada aku dulu? Kenapa tinggalkan aku begini? Sakitnya hati! Memang dah meletup ni!

"Jangan marahkan mereka. Abang yang suruh ibu dan abah pulang dulu. Abang ada perkara nak cakapkan dengan Ifa. Nak minta tolong sebenarnya," terang Yusrizal dengan nada lembut.

Pandailah, nak minta tolong suara lembut bukan main. Hai, Yusrizal... kalaulah kau bersuara lembut begini dahulu, mungkin bukan layanan yang sebegini aku persembahkan padamu. Biarpun kau tidak mencintai aku, tetapi aku tidak kisah kerana layanan sebegini sudah mencukupi buatku.

"Awak nak minta tolong apa? Cepatlah!" Aku mula berkompromi. Malas lagi hendak bergaduh. Hanya menambahkan kedutan di wajahku ini. Cepat tua kata orang tua jika selalu marah-marah. Walaupun ternyata aku bukanlah muda remaja lagi.

"Hujung minggu ni kompeni abang ada buat annual dinner. Jadi abang nak ajak Ifa temankan abang, boleh tak?"

"What? Temankan awak? Tak naklah!" Pantas saja aku memberikan jawapan tanpa berfikir dahulu. Memang mustahil aku menemankan lelaki itu ke majlis-majlis seperti itu.

"Alah Ifa, please... abang tak tahu nak ajak siapa. Abang bukan kenal sesiapa pun kat sini, melainkan Ifa sorang..." rengek Yusrizal dengan wajah kasihannya.
Aku menjeling. Geli pula apabila Yusrizal merengek macam tu.

"Ooo... maknanya kalau ada orang yang awak kenal, awak takkan ajak sayalah. Macam tu? Kalau macam tu, saya dengan senang hatinya offer kawan-kawan saya yang masih single, kalau awak nak," kataku dengan nada terkilan. Aku sendiri tidak mengerti mengapa aku perlu berasa terkilan apabila Yusrizal berkata begitu. Perasaan aku pada waktu itu seperti mengkehendaki supaya Yusrizal mengajak aku kerana dia sememangnya mahu aku menemankannya.

"No! Jangan salah anggap sayang. Bukan begitu maksud abang. Kalau boleh memang abang nak Ifa yang temankan abang. Ifa masih ingat dulu, masa kita masih suami isteri? Abang tak pernah bawa Ifa, kan? Tapi abang bawa Anne, Ifa ingat tak?"

Serta-merta wajahku berubah. Terasa ada air mata yang bergenang apabila aku ingat peristiwa itu. Sebak mencengkam jiwa. Pantas aku alihkan wajah daripada pandangan Yusrizal.

"Abang tahu Ifa terluka malam tu. Hati abang tersentuh bila abang balik, abang tengok Ifa tertidur kat sofa dengan pakaian yang mama belikan untuk dinner malam tu. Ifa tunggu abang ambil Ifa, kan? Abang..."

"Cukup! Saya tak nak dengar!" Serentak dengan itu air mataku menderu laju menuruni pipi. Cepat juga aku mengesatnya. Aku tidak mampu mengawal kesedihan tatkala mengenangkan peristiwa itu. Hilang maluku saat ini.

Yusrizal pula kelihatan tergamam apabila melihat aku menangis.

"Ifa, abang... abang tak bermaksud nak lukakan hati Ifa. Oh, no! What have I done? Ifa, please... jangan menangis," pujuk Yusrizal.

Namun itu belum cukup untuk menenangkan perasaan aku. Makin banyak pula air mataku mengalir. Sudah lama aku tidak menangis. Hari ini seakan-akan luahan perasaan buatku. Di depan Yusrizal pulak tu!

"Ifa, abang minta maaf kalau abang dah buat Ifa terluka. Abang tak bermaksud macam tu..." pujuk Yusrizal lagi.

"Saya nak balik!"

Aku terus bangun dan berlalu dari situ. Tidak berpaling ke belakang lagi.

Yusrizal juga tidak menghalang aku lagi. Aku malu sebenarnya. Menjatuhkan air mata di depannya memang tidak aku duga. Daripada dulu lagi aku memang tidak akan sesekali menangis di hadapannya, kecuali kalau aku benar-benar terluka. Tetapi itu jarang sekali berlaku.

Tetapi kenapa hari ini mudah benar air mataku jatuh?

0 comments:

Post a Comment