Antara Benci Dan Rindu 2
"IFA pergi mana selama ni, nak? Puas kami cari..." ujar Puan Maria dalam esak tangisnya.
Sedari tadi tubuhku tidak dilepaskan daripada pelukannya. Wajahku juga berkali-kali diciumnya. Suasana pilu itu juga turut membuatkan air mataku tumpah. Penerimaan bekas mentuaku itu sedikit sebanyak mengundang rasa terharu di hatiku. Ternyata mereka tidak membuang aku walaupun sudah lima tahun kami tidak bersua muka.
"Ifa sambung belajar ma, di London," beritahuku dalam nada perlahan.
"Patutlah kami tak dapat kesan Ifa langsung. Shima dengan Hassan pindah pun tak beritahu kami. Kalaulah Nisa tak terserempak dengan Ifa kat konvokesyen pendidikan hari tu, agaknya sampai sekarang kami tak jumpa dengan Ifa sekeluarga," marah Puan Maria kepada kami semua.
"Maaf, sebab buat Maria sekeluarga tercari-cari. Selepas Ifa bercerai dengan Rizal, kami malu nak contact dengan Maria sekeluarga lagi. Takut Maria sekeluarga berdendam dengan kami," ujar ibu lembut.
Abah sekadar mengangguk setuju. Sedangkan perasaan aku yang tidak enak. Kata-kata ibu tadi seolah-olah menyalahkan aku. Sedangkan aku tidak bersalah pun....
"Kenapa pula macam tu, Shima, Hassan... bukan salah Ifa pun. Ni semua salah Si Rizal tu sendiri. Intan depan mata tak nampak, kaca juga yang dicarinya. Saya pun tak tahulah kenapa Rizal tu bodoh sangat waktu tu. Isteri sebaik Ifa diceraikan. Hah, bila dah tak ada baru terkapai-kapai mencari!" kata bekas ayah mentuaku pula.
Hatiku sedikit tenang mendengar kata-katanya. Nyata di mata bekas mentuaku, aku tidak bersalah. Tetapi anak lelaki kesayangan mereka yang bersalah. Tetapi timbul pula persoalan di benakku pada lewat ucapannya. Benarkah Rizal mencariku selama ini? Namun aku cepat sedar diri. Untuk apa dicari lagi gadis kolot ini, sedangkan dia sudah memiliki teman wanita yang cukup sempurna. Agaknya papa hanya berkata begitu untuk menyedapkan hati kami sekeluarga.
"Eh, marilah masuk. Bersembang kat luar pula kita ni. Macam dah tak ada rumah."
"Entah awak ni... bukannya nak diajak tetamu kita masuk. Datang dari Kedah mesti penat ni."
"Saya excited sangat bang. Maklumlah, dah lama tak jumpa dengan Ifa ni. Makin cantik Ifa sekarang," puji Puan Maria sambil mengelus-elus wajahku.
Aku tersenyum malu.
Akhirnya aku melangkah juga ke rumah ini. Sesuatu yang tidak pernah aku fikirkan selepas berpisah dengan Yusrizal. Tetapi nampaknya semua itu terjadi jua selepas lima tahun kami berpisah. Rumah ini tidak jauh berubah. Tetap indah seperti kali terakhir aku melihatnya. Makin kelihatan indah dengan keramahan penghuninya.
Sedari tadi aku dilayan mesra oleh mama dan papa. Mama pula awal-awal lagi menyuruh aku bermalam di rumah itu. Rindu katanya. Pada mulanya aku menolak, tetapi setelah dipujuk oleh ibu dan abah, memandangkan esok adalah cuti khas, maka aku terpaksa bersetuju akhirnya.
Aku bimbang sebenarnya. Bimbang jika terserempak dengan Yusrizal. Bagaimana aku hendak menghadapinya? Mesti dia tidak suka dan marah jika melihat aku di sini. Maklumlah... perempuan kolot ini kembali lagi dalam hidupnya. Perempuan kolot? Huh, itu dulu... tidak lagi sekarang!
Pengalaman banyak mengajar aku erti kehidupan. Dan kepahitan itulah telah membuatkan aku berubah. Malah, sebagai seorang pensyarah perakaunan di Universiti Utara Malaysia (UUM) menuntut aku supaya lebih berkeyakinan.
Tempoh lima tahun benar-benar menjadikan aku sebagai Ifa yang lain. Bukan Ifa yang lemah seperti lima tahun dulu. Dengan persiapan yang ada dalam diriku sekarang, tidak ada alasan untuk aku takut dengan Yusrizal lagi. Lagipun aku ke sini bukan kerana dia. Kalau tidak disebabkan ibu dan abah yang memaksa, tidak mungkin aku ke sini.
"Hai, sis!"
Aku yang sedang leka mengacau gulai, sedikit tersentak apabila terasa tubuhku dipeluk dari belakang.
"Nisa, terkejut akak!" marahku sambil menjeling manja. "Dari mana ni? Baru nampak muka. Akak dah lama kat sini, tau."
"Sorry, sis. Ada hal sikit. Akak, jom ikut Nisa kejap," ajak Nisa sambil menarik tanganku.
"Eh, nak pergi mana ni?"
"Alah, jomlah!"
"Nanti siapa yang tengokkan kari ni?"
"Alah, Mak Idah ada. Mak Idah, tolong tengokkan ek?" pinta Nisa kepada pembantu rumah mereka yang sedang membasuh pinggan.
"Baiklah, Nisa."
Aku ditarik oleh Nisa ke depan. Kelam-kabut aku membetulkan langkah kerana bimbang akan tersungkur. Langkah Nisa terlalu laju.
"Nisa, pelan-pelanlah... jatuh akak nanti."
Nisa tidak mengendahkan kata-kataku, malah terus menarik tanganku.
"Abang Rizal, tengok siapa yang datang ni?"
Mataku membulat. Tidak menyangka, rupa-rupanya inilah tujuan Nisa beria-ia benar mahu menarik aku ke ruang tamu. Ingin menemukan aku dengan abangnya! Pada Nisa, aku hadiahkan pandangan kurang senang.
Gadis itu hanya tersenyum sumbing.
Kali ini aku dipaksa pula duduk di sofa yang berhadapan dengan abangnya itu. Geram waktu itu tidak usah dicakap. Apatah lagi apabila mataku menangkap pandangan mata Yusrizal yang begitu tajam menikam wajahku. Macam tidak pernah tengok orang aja! Berbukit rasa menyampahku terhadapnya saat ini.
Macamlah aku tidak tahu apa yang sedang dia fikirkan. Mesti tengah mengutuk aku la tu! Buat apalah minah kolot ni datang sini lagi? Tak pun, mesti dia harap aku berambus cepat. Maklumlah, sudah tentulah kedatanganku ini mengganggu ketenteramannya. Eleh... aku pun tak harap nak duduk melongo menghadap muka kau kat sini. Kucing kat rumah aku lagi cantik mukanya daripada kau.
Eh, ya ke? Tak adalah kut. Hakikatnya, Yusrizal memang kacak orangnya. Nampaknya dia lebih kacak dalam tempoh lima tahun kami berpisah. Sempat juga aku meneliti raut wajahnya. Rambutnya yang dahulu dibiarkan panjang, kini telah dipotong pendek. Setahu aku, lelaki ini memang tidak pernah membiarkan rambutnya pendek selepas tamat sekolah.
Wajah yang cerah itu kelihatan bersih sekali. Seperti wajah orang beriman. Tetapi itu hanya pandanganku. Hakikatnya lelaki ini bukan seperti itu. Terlalu sosial. Cakap saja aktiviti maksiat yang ada, semuanya pernah dia lakukan. Cuma dia tidaklah sampai mengambil dadah dan pil ecstasy.
"Eh, Rizal... yang kau tenung Si Ifa sampai macam tu sekali kenapa?"
Suara Puan Maria tiba-tiba memecah kesunyian. Aku mengalihkan pandangan ke sekeliling. Saat itu tidak dapat diungkap rasa malu yang datang. Masakan tidak, semua orang di ruang tamu itu memandang tepat ke arah kami sambil tersenyum mengusik. Aku alihkan pula pandanganku ke arah Yusrizal.
Lelaki itu kelihatan tersenyum malu sambil menggeleng-gelengkan kepala.
"Tak ada apa-apalah ma... cuma lama tak jumpa dengan Ifa. Lain Ifa sekarang. Ifa apa khabar?" tanya Yusrizal berbasa-basi.
Terkejut aku dengan teguran itu. Sangkaku Yusrizal tidak akan menegurku lagi selepas penceraian kami. Itulah yang dikatakannya kepadaku lima tahun dulu, bahawa dia tidak mahu melihat wajahku muncul di depan matanya lagi. Bukan saja wajah, malah bayang aku pun dia tidak mahu tengok. Saat itu aku sedar betapa hinanya diri aku di mata dia. Bertitik tolak dari situlah, aku tanamkan kebencian terhadap dirinya. Dan kebencian itu telah menjadikan aku sebagai insan yang baru. Insan yang tidak pernah kenal erti kekalahan.
"Ifa, kenapa diam? Kan Rizal tanya tu…."
Suara lembut ibu memecahkan kebuntuanku. Aku seakan baru tersedar. Sekali lagi semua mata memandang ke arahku.
"Baik...." Dengan malas aku menjawab,
"Kalau Rizal nak tahu, Ifa ni sambung belajar, buat master kat London. Lepas tu keluarga dia orang pula berpindah, sebab tu kita tak dapat cari dia orang sebelum ni," terang Puan Maria.
"Oh, ya ke? Berapa tahun Ifa belajar kat sana? Selalunya master tak sampai lima tahun, kan?"
"Tiga tahun."
"So, Ifa buat apa sekarang ni?" tanya lelaki itu lagi.
Aku pula sudah semakin malas mahu menjawab. Tetapi disebabkan kami sedang menjadi perhatian, terpaksa juga aku ringankan mulut. "Kerja."
"Eh, Ifa ni... Rizal tu penat bertanya, sepatah-sepatah dia jawab," tegur abah.
Aku hanya mendiamkan diri. Biar semua orang tahu yang memang aku tidak bercadang hendak beringan mulut dengan Yusrizal. Itu pun sudah kira bertuah aku jawab juga soalan yang diajukan. Kalau langsung tak jawab, macam mana?
"Biarlah Hassan. Mungkin Ifa tu malu lagi kut. Nanti okeylah tu," sampuk bekas ayah mentuaku pula.
"Tuan, puan... makan malam dah dihidangkan."
Alhamdulillah... nampaknya Mak Idah telah menyelamatkan keadaan.
"Hah, jom kita makan. Saya pun dah lapar ni," pelawa bekas ayah mentuaku. "Nisa, ajak kakak tu makan."
"Baik papa. Jom, Kak Ifa."
Aku akur. Lagipun seperti bekas ayah mentuaku, aku juga lapar. Maklumlah sepanjang perjalanan, aku hanya minum air mineral. Selera aku hilang kerana mabuk jalan. Itulah kelemahan aku.
Aku mengambil tempat. Makanan yang terhidang di atas meja kelihatan begitu menyelerakan. Terasa seperti hendak ditelan semua. Aku mula membayangkan jika aku berada di rumah. Tentulah aku tidak sesopan sekarang. He he he....
Keghairahan untuk makan seakan hilang apabila Yusrizal mengambil tempat di sebelahku. Aku jadi kaku. Kenapa dalam banyak-banyak tempat, dekat sebelah aku juga yang jadi pilihan? Meja makan ini cukup besar. Pilih saja tempat lain asalkan bukan dekat aku. Tetapi mungkin Yusrizal sudah biasa makan di sini.
Aku teringat ketika aku masih menjadi isterinya dulu. Aku dan Yusrizal akan duduk di tempat yang sama seperti yang kami duduki sekarang. Dan bermulalah lakonan antara kami. Kami akan berlagak seperti kamilah pasangan yang paling bahagia sedangkan hakikatnya bukan begitu. Walaupun hati aku menangis, tetapi aku terpaksa turutkan juga permintaan Yusrizal kerana dia tidak mahu kedua-dua ibu bapanya menghidu kedinginan hubungan kami.
"Eh, Ifa... kenapa tak makan? Rizal ambilkan nasi untuk Ifa tu."
Yusrizal hanya akur akan permintaan bekas ayah mentuaku itu. Dua senduk nasi diletakkan di dalam pinggan nasiku. Kalau tadi nasi sebanyak ini kurasakan tidak cukup, tetapi sekarang separuh pinggan pun belum tentu aku dapat habiskan.
"Ifa nak lauk apa? Nanti abang ambilkan."
Gulp… abang? Sejak bila dia membahasakan dirinya ‘abang’ ni? Kalau dulu yalah juga. Tapi kata ganti diri itu hanya akan digunakan sekiranya kami berkomunikasi di hadapan keluarga masing-masing. Jika tidak, Yusrizal lebih senang beraku-engkau saja denganku. Takkanlah setelah bercerai pun kata ganti diri itu hendak dikekalkan?
"Ifa???"
"Errr... tak apa. Nanti saya ambil sendiri."
Yusrizal hanya menganggukkan kepala. Kemudian dia menumpukan pada makan malamnya semula. Lelaki itu kelihatan berselera benar. Aku pula yang hilang selera. Tetapi aku perlu makan untuk menghilangkan rasa laparku.
Walaupun suasana di meja makan itu agak meriah, namun masih tidak dapat mengeluarkan aku daripada dunia yang kuciptakan sendiri. Banyak perkara yang aku sedang fikirkan sekarang ini. Antaranya termasuklah sikap lelaki yang berada di sebelahku ini. Entah mengapa aku dapat rasakan kelainan pada sifatnya. Tetapi perasaan itu cepat-cepat kuhakis kerana aku tahu itu semua hanya lakonan Yusrizal. Lakonan yang dilakukan untuk mengaburi mata keluarga kami, sama seperti yang kami lakukan lima tahun lepas.
SELEPAS makan malam, aku dan Nisa membantu Mak Idah mengemas ruang tempat kami makan tadi. Kalau diikutkan hati memang malas hendak meringankan tangan. Dengan perutku yang ‘full tank’ ini cukup untuk membuatkan aku tidur nyenyak hingga ke esok pagi. Tapi apakan daya, lahir sebagai anak perempuan memang itulah kerjanya. Kalau tidak menolong dikatakan malas pula!
Sesudah mengemas, Nisa mengajak aku berbual di laman banglo itu. Aku hanya turutkan. Lagipun sudah lama aku tidak menghabiskan masa di laman indah yang mama ciptakan ini. Mama memang kreatif orangnya. Aku masih ingat ketika aku masih menjadi menantu rumah ini dulu. Aku sering menghabiskan masa di sini. Laman ini membuatkan fikiranku tenang. Terasa tidak ada satu pun masalah yang aku hadapi jika aku berada di sini.
Kami melabuhkan punggung di kerusi kayu yang tersedia di tengah laman itu. Aku semakin kagum dengan hasil kerja mama. Laman ini bertambah cantik. Malah semakin luas. Kalaulah aku mempunyai laman secantik ini, sudah tentu dari pagi hingga ke malamlah aku bertapa di sini. Dan ibu pun mungkin tidak mengenali lagi anaknya. Kerana aku sudah bertukar kerjaya dari seorang pensyarah kepada penunggu laman terhormat. He he he....
Aku dan Nisa terus berbual hingga tidak sedar malam sudah semakin lewat. Bukan kami saja, malah ibu bapaku dan bekas ibu bapa mentuaku juga nampaknya masih tidak mahu mengakhiri perbualan. Terlalu banyak yang dibualkan. Sesekali terdengar ilai tawa mereka dari ruang tamu. Cuma Yusrizal sahaja aku tidak tahu ke mana telah menghilang. Mungkin sudah masuk tidur.
"Akak, kalau Nisa tanya sikit akak jangan marah ya?"
"Belum tanya lagi macam mana nak marah Nisa," balasku cuba berseloroh.
Nisa hanya tersenyum. Ah, gadis ini terlalu murah dengan senyuman.
"Janji jangan marah tau?" pintanya lagi.
Akhirnya aku mengangguk sambil tersenyum.
"Emmm... akak masih marahkan Abang Rizal ke?"
Soalan Nisa yang kufikir terlalu drastik itu benar-benar membuatkan aku bungkam. Terus terang aku katakan, aku tidak tahu hendak berkata apa. Untuk sementara aku hanya membiarkan soalan Nisa begitu saja.
"Akak?"
Aku alihkan pandangan ke arah Nisa. Kelihatan gadis itu seperti tidak sabar-sabar untuk mendengar butir bicaraku.
"Nisa rasa macam mana?" tanyaku pula.
"Kalau dari pandangan mata Nisa ni, memang nampak macam akak masih marahkan abang lagi. Tapi entahlah... " jawab Nisa perlahan.
"Kalau itu yang Nisa nampak... so macam tu la," jawabku acuh tak acuh. Malas sebenarnya mahu membincangkan hal ini. Lagipun Nisa adalah adik Yusrizal. Takkanlah aku hendak mengutuk si abang depan adiknya pula. Tidakkah itu keterlaluan? Lainlah kalau yang di depanku ini Linda, teman baikku. Bolehlah juga aku buat ketupat (mengumpat). Sepanjang lima tahun ini pun sudah banyak mana ketupat yang aku buat dengan Linda. Tidak terkira!
"Alah, cakaplah Kak Ifa. Anggap saja Nisa sebagai tempat luahkan perasaan. Akak tak boleh pendam saja apa yang akak rasa. Sesekali kena diluahkan juga. Betul tak?"
"Tak ada apa yang nak diluahkan, Nisa. Semuanya sudah selesai. Antara akak dengan abang sudah tak ada apa-apa lagi. Jadi, tak usahlah kita bincangkan lagi hal ni ya," pintaku. Berharap benar pengertian daripada Nisa.
Walaupun bekas adik iparku kelihatan tidak puas hati, tetapi dia terpaksa turutkan kehendakku. Nisa bukanlah orang yang suka memaksa. Dia amat memahami. Aku sudah menganggapnya sebagai adik kandungku sendiri. Lagipun aku anak tunggal. Tidak ada kakak atau adik perempuan yang boleh berkongsi suka dan dukaku. Pada Nisalah aku luahkan segala-galanya sepanjang tempoh aku menjadi isteri Yusrizal dulu. Hanya Nisa yang mengetahui perihal rumah tanggaku dengan abangnya dulu. Itupun kerana Nisa turut ternampak adegan maksiat antara Yusrizal dengan teman wanitanya yang berlaku di rumah kami lima tahun lepas.
Ketika itu aku baru pulang dari kampung kerana menziarahi abah yang kurang sihat. Yusrizal tidak turut serta. Selepas mendapat keizinannya aku pulang seorang diri. Nasiblah ibu dan abah tidak banyak soal. Mereka hanya menerima alasanku yang menantu mereka itu sibuk dengan tugas pejabatnya.
Selepas beberapa hari di kampung dan kesihatan abah sudah semakin baik, aku putuskan untuk pulang. Sebaik tiba di pudu raya, aku cuba menelefon Yusrizal untuk meminta dia menjemputku. Tetapi talian telefon bimbitnya tidak aktif. Beberapa kali kucuba tetapi masih tiada balasan. Akhirnya aku terpaksa meminta bantuan Nisa. Gadis itu muncul setelah lima belas minit aku menunggu.
Sebaik sampai di rumah, aku pelik kerana kereta Yusrizal ada terparkir di porch. Bermakna Yusrizal tidak ke mana-mana. Ah, mungkin dia tidur. Sebab itu dia matikan talian kerana tidak mahu diganggu. Tetapi kenapa hatiku rasa tidak enak?
Aku jemput Nisa masuk. Gadis itu hanya menurut. Aku pulas tombol pintu. Semakin pelik apabila aku dapati pintu rumah tidak berkunci. Dan sebaik sahaja pintu utama rumah kutolak, alangkah terperanjatnya aku dan Nisa dengan adegan yang terhidang di depan mata kami. Aku terjelopok di atas lantai, tidak percaya lelaki yang bersama wanita itu adalah suamiku. Wanita itu hanya berpakaian dalam manakala Yusrizal hanya mengenakan seluar pendek. Mereka kelihatan asyik sekali berkucupan sehingga langsung tidak menyedari kehadiran kami di situ. Jadi inilah alasan mengapa Yusrizal tidak mahu mengikutku pulang ke kampung. Ingin menghabiskan masa bersama teman wanitanya tanpa gangguan aku. Menitis air mataku saat itu.
Mereka hanya tersedar apabila Nisa berdehem kuat. Terkocoh-kocoh wanita itu mengenakan pakaiannya semula. Manakala Yusrizal merenungku dengan pandangan yang maha tajam. Mungkin marah kerana aku membawa pulang adiknya yang secara tidak sengaja turut menyaksikan adegan sebabak itu. Selama ini tiada seorang pun yang tahu, tetapi sekarang rahsianya pecah di depan adiknya sendiri.
"Apa yang abang buat ni hah??? Abang tak malu ke??? Abang tu dah kahwin tau? Hei... perempuan! Kau buat apa kat sini hah??? Keluar!!!" pekik Nisa.
Adik iparku kelihatan marah benar. Hampir saja dia menampar perempuan itu tetapi nampaknya perempuan itu lebih pantas bertindak. Dia menjadikan tubuh Yusrizal sebagai tempatnya berlindung.
"Nisa!!! Jangan kurang ajar!!!" pekik Yusrizal pula.
"Nisa yang kurang ajar ke abang dengan perempuan ni yang kurang ajar? Sampai hati abang buat macam ni kat Kak Ifa. Abang tak kesian ke dengan Kak Ifa. Dia isteri yang baik, tapi kenapa abang buat macam ni pada dia???"
"Nisa, baik kau balik. Jangan campur hal abang!!!"
"Nisa takkan balik selagi Nisa tak belasah perempuan ni. Hei perempuan tak tahu malu!!! Mari sini kau. Biar aku belasah kau cukup-cukup. Dasar perempuan sundal!!!"
Nisa seperti orang gila. Aku sendiri tidak mampu melakukan apa-apa melainkan hanya memandang. Air mataku semakin laju menitis. Teruk juga perempuan itu dibelasah oleh Nisa. Tenaga lelaki Yusrizal masih tidak mampu menahan ketangkasan Nisa. Akhirnya Yusrizal memeluk pinggang Nisa dan menarik adiknya itu menjauhi teman wanitanya yang sudah terjelepok di lantai. Namun itu masih tidak mampu menghentikan Nisa. Dengan kaki yang masih bebas, dia menendang wanita itu dengan agak kuat.
"Nisa, sudah! Jangan sampai abang hilang sabar!!!"
"Lepaskan Nisa. Nisa nak ajar dia cukup-cukup. Dasar perempuan perosak rumah tangga orang!!!"
"Abang kata sudah, Nisa!!!"
Bersama tempikan itu, Yusrizal menghadiahkan penampar sulungnya buat Nisa. Terduduk gadis itu di sofa. Aku yang seakan baru tersedar, laju sahaja langkahku mendapatkan Nisa yang sudah teresak-esak menangis. Tubuhnya kupeluk erat.
"Abang, kenapa abang tampar Nisa? Dia tak bersalah," marahku pada Yusrizal.
"Kau diam! Sejak kau hadir dalam hidup aku, semuanya porak-peranda. Mulai hari ni, aku tak mahu tengok muka kau kat sini lagi. Berambus kau dari hidup aku! Bukan saja muka kau, malah bayang kau pun aku tak mahu tengok! Mulai hari ni kau bukan isteri aku lagi. Aku ceraikan kau!!! Pergilah mana kau nak pergi. Aku tak peduli lagi!!! Sekarang, berambus!!!"
Terpanar aku mendengar kalimah itu. Benarkah aku telah diceraikan?
"Abang!"
"Berambus aku kata!!!"
Yusrizal menarik aku dan Nisa keluar dari rumah itu. Walaupun aku cuba merayu tetapi tidak dipedulikan. Hempasan kuat pintu rumah seakan menyedarkan aku bahawa aku bukan lagi puan di rumah itu. Walaupun berat kaki melangkah, aku gagahkan juga. Aku sudah tidak mampu menenangkan Nisa yang semakin galak menangis. Bagaimana hendak kupujuknya jika hatiku sendiri luka berdarah.
Berita penceraian antara aku dan Yusrizal aku khabarkan pada orang tua kami. Tetapi aku tidak mengkhabarkan tentang apa yang berlaku pada hari terakhir aku menjadi isteri Yusrizal. Pada Nisa telah awal-awal lagi kupinta agar jangan buka cerita. Aku hanya biarkan Yusrizal yang menjawab segala persoalan yang diutarakan oleh orang tuanya. Alasan yang dia berikan ialah kami tidak sefahaman lagi. Dan dia sudah mempunyai pilihan hati dan ingin menikahi teman wanitanya itu selepas habis tempoh edahku.
Aku hanya menelan kata-katanya itu. Walaupun pahit, itulah yang harus kutelan. Mama dan papa cuba memujuknya tetapi pendirian anak lelaki mereka bukan senang hendak digoyah. Akhirnya mereka terpaksa akur.
Masih terbayang di ruang mataku linangan air mata mama ketika kali terakhir aku memeluknya. Dan itulah kali terakhir aku menatap wajahnya.
"Akak? Akak menangis?"
Aku terkejut. Pantas air mata yang mengalir kusapu dengan telapak tangan. Terasa seperti semalam tragedi itu berlaku hingga sakitnya begitu mencengkam jiwa.
"Tak adalah. Mata akak masuk habuk," dalihku. Aku menghadiahkan senyuman buat Nisa. Tetapi Nisa seakan mengerti lalu mengalihkan tempat duduknya di sebelahku. Perlahan-lahan air mataku yang masih berbaki disapunya. Aku jadi malu sendiri.
"Nisa minta maaf kalau soalan Nisa tadi membuatkan akak teringat kisah silam. Nisa janji Nisa takkan tanya lagi soalan macam tu. Maafkan Nisa, ya?"
"Tak apalah, Nisa. Bukan salah Nisa. Memang dah nasib akak macam tu."
"Dahlah akak. Jomlah kita masuk."
Aku mengangguk. Namun belum sempat aku bangun, satu suara yang cukup aku kenali menyapa kami.
"Hai... berbual panjang nampak," sapa Yusrizal.
Aku menghadiahkan jelingan buatnya saat mata kami berbalas pandang. Biar dia rasa.
"Nisa, boleh abang cakap dengan Kak Ifa sekejap," pinta Yusrizal pada adiknya.
Nisa mengalihkan pandangannya padaku. Aku lantas menggeleng. Tidak mahu ditinggalkan. Ditinggalkan bersama Yusrizal membuatkan aku jadi tidak betah.
"Baiklah, tapi jangan lewat sangat berbual. Kak Ifa dah mengantuk tu."
Aku terkejut dengan reaksi Nisa.
Nisa berlalu. Tinggallah aku dengan Yusrizal. Lelaki itu melabuhkan punggung di sebelahku. Tindakannya itu membuatkan aku gelisah. Entah apalah yang hendak dicakapkan agaknya. Sedangkan padaku sudah tidak ada apa-apa yang hendak dibincangkan antara aku dan dirinya.
"Cantikkan langit malam ni, Ifa?" Yusrizal memulakan bicara.
Aku mencebik. Itu aje ke dia nak cakap?
"Kalau itu aje yang awak nak cakap, maaf... saya tak ada masa nak dengar. Saya masuk dulu. Dah mengantuk ni!" ujarku lantas ingin berlalu.
"Nanti dulu, Ifa. Please... duduk dulu. Abang ada hal nak bincang dengan Ifa ni."
"Awak nak bincang apa lagi? Antara kita dah tak ada apa-apa. Kita dah bercerai. So, sekarang teruskan dengan kehidupan awak dan saya dengan kehidupan saya."
"Tidak Ifa... antara kita masih terlalu banyak perkara yang perlu diselesaikan. Please... duduk dulu. Kita bincang," pujuk Yusrizal lembut.
Entah mengapa aku jadi mual apabila mendengar suara lembutnya itu. Suara pujuk rayu yang suatu ketika dahulu hanyalah untuk perempuan itu.
"Saya tak mahu. Maaf... saya masuk dulu," kataku dan mula melangkah.
"Ifa masih marahkan abang?"
Langkah kakiku terhenti. Yusrizal melangkah menghampiriku.
"Abang tahu Ifa masih marahkan abang. Dan abang juga tahu hati Ifa masih terluka. Berilah peluang untuk abang sembuhkannya. Abang akan tebus semua kesalahan abang selama ni. Berilah abang peluang, Ifa...."
Aku lantas berpaling menghadapnya. Perasaan marah mula menguasai diri. "Apa yang awak cakap ni, hah? Awak dah gila ek?"
"Abang tak gila, Ifa. Abang masih waras. Malah abang mengaku inilah satu-satunya perkara yang abang lakukan dengan fikiran yang waras. Selama ni abang hanya turutkan nafsu saja. Bagilah abang peluang, Ifa. And I promise you won’t regret it."
Kata-katanya meletuskan tawaku. Kenapa dengan Yusrizal ni? Angin tak ada, ribut tak ada, tiba-tiba jadi begini. Mana perginya sifat kasar lelaki itu? Mana pergi sifat bongkaknya dahulu. Apa dah jadi? Sehingga sanggup merayu pada perempuan yang suatu ketika dahulu dianggap kolot ini.
"Apa dah jadi dengan awak ni sebenarnya? Awak ni memang dah hilang akal kut. Awak sedar tak pada siapa yang awak rayu ni? Pada perempuan kampung yang kononnya kolot, tak tahu bergaya macam teman wanita awak yang seksi tu. Yang ketinggalan zaman, yang..."
"Cukup, Ifa! Abang tahu abang silap. Intan depan mata abang tak nampak, kaca juga yang abang puja-pujakan. Abang takkan ulang kesilapan abang lagi. Maafkanlah abang, Ifa..." rayunya lagi.
Rimas aku waktu itu. Sungguh aku tidak percaya pada kata-kata yang lahir dari bibirnya itu. Padaku semuanya dusta. Entah apalah tujuan Yusrizal merayu pada aku begini? Pasti ada udang di sebalik batu. Jangan haraplah aku akan termakan dengan lakonan kau lagi. Lelaki hipokrit!!!
"Dahlah... awak ni memang dah gila. Saya nasihatkan esok awak pergi jumpa doktor betulkan apa yang patut. Otak awak tu memang dah mereng sangat-sangat. Saya pun nak masuk tidur. Nanti berjangkit pulak penyakit gila awak tu. Goodnight!"
Aku terus melangkah tanpa menoleh lagi. Meninggalkan Yusrizal yang terkulat-kulat di situ. Panggilannya langsung tidak aku endahkan. Padan muka! Baru kau tahu siapa aku sekarang. Ingat senang nak makan pujukan kau.
Huh!
"IFA, nanti janganlah jemu datang melawat kami di sini. Mama harap sangat hubungan kita tak terputus macam tu aje. Mama dah anggap Ifa macam anak mama sendiri, ya sayang?" ujar Puan Maria dengan linangan air mata.
Seperti semalam, Puan Maria memeluk erat tubuhku. Aku lihat air mata wanita itu bergenang. Sungguh hatiku tersentuh. Linangan air mata mama seolah-olah menyampaikan maksud yang mama benar-benar maksudkan apa yang diucapkannya sebentar tadi. Rasa terharu yang bermukim di dada sedikit sebanyak telah mengundang air mataku juga. Walau cuba kutahan tetapi ia tetap mengalir membasahi pipi. Sekali lagi aku gagal menyembunyikan kesedihanku. Kasih sayang wanita itu telah membuatkan aku kalah.
"Mama janganlah sedih. Ifa janji, Ifa takkan lupakan mama sekeluarga. Ifa pernah hidup dalam keluarga ni dulu. Macam manalah Ifa boleh lupa." Aku berkata lirih.
Sememangnya aku tidak pernah lupakan kasih sayang mama padaku. Malah, aku akui sepanjang lima tahun berpisah, aku begitu merindui mama. Sunguh beruntung Yusrizal dan Nisa kerana mempunyai mama yang begitu baik dan penyayang.
"Janji?"
"Ifa janji, ma...."
Selepas aku melafazkan janji, barulah Puan Maria melepaskan tubuhku lalu tersenyum. Mungkin berpuas hati dengan janjiku tadi. Sempat juga mama menghadiahkan kucupan di dahiku sebelum beralih kepada ibu pula. Aku pula beralih kepada Nisa. Dia kulihat sedang mengalirkan air mata. Air matanya lantas kusapu.
Nisa pantas memeluk erat tubuhku dan aku membalas pelukannya.
"Akak jangan lupakan Nisa ya. Selalu-selalulah SMS Nisa. Nisa tak ada kakak. Nisa dah anggap akak macam kakak Nisa sendiri," ujar Nisa dalam tangisan.
Semakin laju air mataku menuruni pipi apabila mendengar rintihannya. Aku pantas membalas kata-katanya dengan anggukan.
"Nisa belajar rajin-rajin ya? Jangan hampakan harapan orang tua," pesanku sambil aku mengesat air mata yang mengalir di pipinya.
"Nisa janji kak," janji Nisa kepadaku.
Aku meleraikan pelukan lalu beralih pula kepada papa. Aku menghulurkan tangan kepada papa lalu tunduk untuk mengucup tangannya.
"Ifa minta maaf kalau Ifa ada buat salah pada papa selama Ifa di sini. Halalkanlah makan minum Ifa selama Ifa menjadi menantu papa."
Papa tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala. Telapak tangannya mengusap lembut kepalaku.
"Ifa tak salah. Semua tu dah takdir Tuhan. Siapalah kita nak menghalang. Papa harap janganlah Ifa lupa kami di sini," ucap papa yang juga berpesan perkara yang sama.
Aku hanya menganggukkan kepala sambil tersenyum. Aku melepaskan tangan papa. Semua orang telah kujumpa melainkan Yusrizal. Lelaki itu menghadiahkan senyuman sewaktu mata kami bertentangan. Aku masih teragak-agak sama ada hendak maju atau tidak.
Aku alihkan pandangan kepada semua. Mereka turut menjatuhkan pandangan ke arahku. Kupandang ibu dengan pandangan penuh bermakna. Ibu lantas tersenyum mengangguk.
Akhirnya dengan berat hati aku terpaksa berdepan dengan Yusrizal juga. Aku tahu alangkah tidak sopannya sekiranya aku pergi begitu saja. Walaupun dendamku masih bermaharajalela, aku terpaksa melakukan ini demi menyenangkan hati semua pihak. Mereka pula seakan mengerti ketidaksenanganku ketika berdepan dengan Yusrizal, lalu bergerak ke keretaku yang tersadai di luar pagar. Tinggallah kami berdua di situ dengan suasana yang sunyi sepi.
Aku berdiri bertentangan dengan Yusrizal. Untuk beberapa ketika tiada bicara yang terluah antara kami. Hanya pandangan mata yang mengungkap maksud di dada. Yang pasti hatiku tidak terasa berat hendak meninggalkannya seperti perasaanku pada ahli keluarganya yang lain.
"Rizal...." Akhirnya aku memulakan bicara.
Yusrizal masih merenung ke dalam mataku. Renungannya membuatkan aku hampir kalah. Sejak mengenali lelaki ini, aku mula menyedari satu lagi kelemahanku. Aku tidak akan sesekali mampu untuk membalas renungannya. Tetapi hari ini aku gagahkan jua.
"Selepas kita bercerai, ada perkara yang saya nak cakap kat awak tapi tak berkesempatan, sebab awak tak nak tengok muka saya, malah bayang saya sekalipun," sambungku lagi.
Wajah Yusrizal berubah apabila mendengar bicaraku. Mungkin tidak menyangka yang aku masih mengingati kata-katanya dulu. Ah, hakikatnya aku tidak mungkin akan lupa! Dan dia juga mungkin tidak menyangka yang aku masih mahu mengungkit kisah lama pada saat ini.
"Dan saya nak bagitau hari ni."
"Apa dia, Ifa? Katakanlah... abang sedia mendengarnya."
"Saya nak minta maaf sekiranya ada kesilapan yang saya lakukan sepanjang tempoh saya menjadi isteri awak. Dan halalkanlah makan minum saya."
"Tidak, Ifa isteri yang baik dan tak pernah melakukan kesilapan. Cuma abang yang bodoh kerana tidak pandai menilai ketulusan hati Ifa. Malah, abang banyak melukakan hati Ifa. Abang yang sepatutnya minta maaf, bukan Ifa," balas Yusrizal dalam nada yang tenang.
Aku menggelengkan kepala sambil tertawa kecil.
"Tidak. Saya yang salah dari mula lagi. Sepatutnya saya berkeras menolak pinangan keluarga awak dulu, kerana saya sedar akan perbezaan kita. Tapi saya kalah dengan permintaan ibu supaya menerima pinangan tu. Dan akhirnya kita berkahwin walaupun pada waktu itu saya terpaksa meninggalkan teman lelaki saya kerana awak. Tapi saya reda kerana saya percaya pilihan orang tua lebih berkekalan. Tapi nampaknya saya silap. Walaupun saya cuba pertahankan perkahwinan kita, takdir Tuhan mengatasi segala-galanya. Perkahwinan kita hancur juga. Semuanya salah saya."
Mata Yusrizal tidak berkelip daripada memandang wajahku. Kerutan di dahinya menunjukkan yang dia kurang jelas dengan kata-kataku tadi.
"Apa maksud Ifa? Ifa pun tak bersetuju dengan perkahwinan kita dulu?"
"Ya! Awak pernah mengatakan yang kehadiran saya telah memporak-perandakan hidup awak. Begitu juga saya. Semenjak kehadiran awak, hidup saya berubah. Ibu yang selama ni tak pernah menghalang akan keinginan saya, mula mengawal setiap gerak-geri saya. Pinangan dari keluarga awak saya terima kerana ibu. Saya tinggalkan teman lelaki saya juga kerana ibu. Ibu begitu menentang hubungan kami selepas kedatangan lamaran dari keluarga awak, sedangkan sebelum itu ibu tak pernah kisah pun siapa pilihan saya. Hidup saya tak bermakna selepas itu. Kalau awak fikir awak sorang yang menderita dengan perkahwinan itu, awak silap... kerana saya yang lebih menderita."
Aku menarik nafas dalam. Hari ini aku mahu meluahkan segala-galanya. Biarlah Yusrizal tahu, kerana aku sudah tidak mampu lagi menanggungnya seorang diri. Ia begitu menjerut hatiku. Kulihat postur Yusrizal masih seperti sebelumnya. Tetapi kali ini kerutan di dahinya semakin banyak.
"I... Ifa ada teman lelaki sebelum kita kahwin?"
Hanya anggukan yang kuberikan sebagai jawapan.
"Kenapa Ifa tak pernah beritahu abang?"
Sekali lagi aku tertawa. Kali ini sedikit sinis.
"Kenapa saya tak pernah beritahu? Perlukah? Lagipun cuba awak fikir, sepanjang setahun perkahwinan kita, pernahkah awak ambil berat tentang saya? Tak, Yusrizal! Bercakap dengan saya bila perlu saja. Sakit pening saya tak pernah awak ambil tahu. Semuanya saya yang tanggung sendiri. Yang awak tahu hanya keluar bersuka ria dengan Anne. Itupun awak masih bertanya kenapa saya tak pernah beritahu?" Suaraku sudah sedikit meninggi.
Yusrizal meraup mukanya. Kekesalan jelas terpancar di situ. Bukan aku sengaja mahu mengungkit, tetapi setiap kali membincangkan hal ini, amarahku sukar dikawal. Walaupun puas aku mencuba, tapi ia hanyalah sia-sia.
"Maafkan abang, Ifa. Abang tahu abang memang bodoh. Punya isteri sebaik Ifa tapi abang sia-siakan. Selepas abang berkahwin dengan Anne, barulah abang sedar siapa intan, siapa permata. Masa tu abang benar-benar menyesal. Anne tak seperti yang abang sangkakan. Dia tak layak menjadi seorang isteri. Tuhan saja yang tahu perasaan abang waktu tu. Abang selalu teringatkan Ifa. Kenangan kita sepanjang menjadi suami isteri. Tapi abang sedar, terlajak tindakan akan menyesal seumur usia. Perkahwinan kedua abang juga kecundang, Ifa. Tapi kali ini lebih singkat. Perkahwinan abang dengan Anne hanya bertahan lapan bulan."
Aku memandang tepat ke wajahnya. Terjawablah sudah persoalanku selama ini. Patutlah aku tidak nampak Anne sepanjang aku berada di sini. Rupa-rupanya mereka telah lama bercerai. Tidak kusangka, cinta juga tidak menjamin kebahagiaan dalam perkahwinan Yusrizal. Ah, tidak! Perkahwinan Yusrizal dengan Anne bukan berdasarkan cinta, tetapi berlandaskan nafsu semata. Benarlah kata para ulama, setiap tindakan yang berlandaskan nafsu tidak akan bertahan lama.
"Sudahlah, saya tak mahu kenangkan lagi perkara tu. Apa yang nak saya cakapkan, sudah pun saya luahkan. Selepas ni saya harap kita dapat jalani kehidupan kita seperti biasa. Saya pergi dulu," kataku lalu mula mengorak langkah.
Hatiku lega kerana hari ini sedikit sebanyak beban di dadaku sudah terluah. Sekarang aku akan kembali ke kehidupanku semula. Semoga ada yang lebih indah menantiku di sana.
"Tak adakah peluang kedua untuk abang, Ifa?"
Pertanyaan Yusrizal mematikan langkahku. Perlahan-lahan aku berpusing menghadap wajah kusutnya semula.
"Maafkan saya, Rizal. Saya pernah beri peluang pada awak dulu. Bukan sekali, malah berkali-kali. Siang malam saya berdoa kepada Allah supaya awak berubah dan menerima saya sebagai isteri. Tapi awak tetap tak berubah. Malah, saya diceraikan. Saya sudah tak mampu nak memberi peluang pada awak lagi. Selagi hati saya masih terasa sakit, selagi itulah saya takkan memaafkan awak," ujarku nekad.
Yusrizal berjalan menghampiriku. Wajahnya yang tadi kelihatan kusut semakin kusut. Mungkin kecewa dengan keputusan yang telah aku ambil. Tapi untuk apa?
"Abang tau bukan mudah untuk Ifa lupakan apa yang telah abang lakukan pada Ifa dulu. Walaupun Ifa tak mahu berikan abang peluang, tapi abang akan terus mencuba untuk memenangi hati Ifa. Abang tahu hanya Ifa yang abang tunggu selama ni. Selepas abang mengahwini Anne, barulah abang sedar siapa yang abang cinta. Abang hanya cintakan Ifa dan akan terus mencintai Ifa."
"Cukup! Saya tak mahu dengar lagi semua ni. Pada saya semua yang keluar dari mulut awak dusta belaka. Tapi awak jangan harap saya akan termakan dengan kata-kata awak tu. Saya bukan lagi Ifa yang dulu."
"Tak Ifa, abang betul-betul maksudkan apa yang abang cakap. Abang tak tipu! Abang tahu dalam keadaan macam ni, Ifa mungkin tak akan percaya. Tapi abang akan buktikan kata-kata abang, Ifa. Suatu hari nanti Ifa akan nampak kebenaran kata-kata abang ni," ujar Yusrizal bersungguh-sungguh.
Hendak ketawa aku mendengar kata-katanya itu. Tetapi kutahan kerana bimbang didengari semua orang di situ. Pasti mereka akan tahu yang kami sedang bergaduh sekarang ini.
"Kalau itu yang awak cakapkan, saya amat berharap yang hari tu takkan pernah wujud. Saya pergi dulu. Jaga diri awak. Dan jagalah keluarga awak. Assalamualaikum."
Kali ini aku melangkah tanpa menoleh lagi. Itulah yang aku harapkan. Aku tak mahu lagi memandang ke belakang. Aku mahu terus ke depan. Kerana masa lalu terlalu menyakitkan.

0 comments:
Post a Comment