APA KATA HEROIN?

"Mungkin apa yang I katakan ni susah untuk you percaya. I faham kenapa you berfikiran seperti itu. I perempuan yang bertanggungjawab memusnah rumahtangga you. Sudah tentu sukar untuk mempercayai kata-kata perempuan seperti I, kan?" Anne menghentikan bicaranya buat sementara waktu. Matanya tunak merenung ke mataku.

APA KATA HERO?

"Abang faham kalau Ifa masih belum bersedia. Tapi abang tak nak tidur sorang-sorang. Abang kan dah ada isteri. So, abang nak tidur dengan isteri abang," ujarnya tenang ketika aku menyuarakan hasrat hatiku itu.

Antara Benci Dan Rindu 7

"LA... tak jadi pulak? Kali ni apa hal pulak?" Itulah respons mak long apabila abah mengkhabarkan tentang pembatalan majlis pertunanganku padanya. Mak long dan pak long bertandang ke rumahku petang itu setelah dipanggil ibu untuk memberitahu tentang pembatalan majlis itu. Aku menelinga di sebalik dapur sambil menyediakan sedikit juadah petang buat mereka.

"Nak buat macam mana, Kak Min. Tuan punya badan tak nak, takkan nak paksa pulak," balas abah.

"Hai, hari tukan cakap dah setuju. Sampai dah tetapkan hari pertunangannya. Sekarang ni lain pulak."

"Sebenarnya Kak Min, kami yang buat keputusan bagi pihak Ifa. Ingatkan dia setuju. Rupa-rupanya tak," balas ibu pula.

"La... macam tu pulak. Kamu berdua ni pun satu, yang memandai buat keputusan tu kenapa? Zaman sekarang ni dah tak macam dulu dah. Budak-budak sekarang ni lebih suka buat keputusan sendiri. Tak perlu kita tentukan," bebel mak long.

Aku hanya tersenyum kerana mak long menyebelahiku.

"Kami ni yang nak terbaik aja untuk Si Ifa tu, Kak Min," kata ibu.

"Betul cakap kamu tu, Shima. Tapi kamu tengok apa jadi dengan Ifa, lima tahun lepas. Bercerai! Dengan budak Rizal tu jugak. Aku sebenarnya memang tak setuju bila kamu nak kahwinkan Ifa dengan Si Rizal tu semula. Tapi dah kamu yang beria-ia nak satukan jugak budak berdua tu, aku ikutkan jugaklah. Yalah, siapalah aku nikan...."

Betul tu! Sampuk aku dalam hati. Memang aku sependapat dengan mak long. Rupa-rupanya mak long pun tidak menyukai Yusrizal. Cuma orang tuaku saja yang sayangkan dia. Mereka seakan-akan memejamkan mata dengan keburukan lelaki itu.

"Tak apalah kak. Memang dah tak ada jodoh kut Si Ifa dengan Rizal tu."

"Jadi majlis tu memang batallah ni?" tanya mak long inginkan kepastian.

"Macam itulah nampaknya, Kak Min."

"Pihak lelaki dah tahu ke?"

"Dah, saya dah telefon pihak lelaki tengah hari tadi," beritahu abah.

"Main telefon aja?" tanya mak long dengan suara yang agak terkejut.

"Mana boleh macam tu. Kamu ni memang tak ikut adatlah!" marah pak long pula. Pantang betul dia kalau bab-bab adat istiadat Melayu diperlekehkan.

Hatiku terkekeh ketawa dengan gelagat mereka suami isteri. Perangai sama saja. Semua yang keluar dari mulut mereka sama dan sepakat.

"Niat di hati memang nak berjumpa mereka, terus bincangkan hal ni. Tapi saya seganlah abang, akak. Dah tak tahu nak letak mana muka ni. Sebab itulah saya telefon aja," terang abah.

"Huh! Jadi apa kata mereka?"

"Mereka terkejut jugak sebab majlis tinggal lima hari aje lagi. Tapi nak buat macam mana, dah Ifa tak mahu. Siap ugut lagi tak nak hadirkan diri masa majlis tu nanti."

Kata-kata abah membuatkan aku tergelak lucu. Teringat kembali saat aku meluahkan kata-kata itu. Aku hanya berniat untuk menggertak ibu dan abah saja. Langsung tidak berniat hendak mengotakannya. Tidak sanggup rasanya hendak menconteng arang ke wajah-wajah orang yang paling aku sayangi. Tak sangka pula taktik aku menjadi.

"Hah, Ifa yang kamu tersenyum-senyum kat situ kenapa?" tegur pak long.

Sedikit tersentak aku dibuatnya apabila disergah begitu. Pantas sahaja aku mengatur langkah mendapatkan mereka sambil menatang dulang.

"Ifa buat ke kuih ni?" tanya mak long setelah aku selesai menuang air.

"Tak adalah mak long. Ibu yang buat. Ifa tolong hidangkan aje. He he he...."

"Emmm... macam tu la akak. Liat nak masuk dapur," perli ibu.

Aku tersenyum malu. Tetapi di dalam hati masih berniat ingin mengusik ibu.

"Eh, mana ada mak long. Ibu ni memang suka mengusik. Tiap-tiap hari tau Ifa masuk dapur."

"Haah, yalah tu. Masuk dapur kalau memasak tak apalah jugak... ni yang dia tahu, buat air. Tu ajelah. Memasak tak pandai," tambah abah pula.

Aku sudah memuncung. Pak long dan mak long hanya ketawa melihat telatah kami bertiga.

Tapi tidak dinafikan yang kata-kata ibu itu ada benarnya. Aku memang liat hendak memasak. Bukan tak pandai masak, cuma kurang hebat seperti ibu. Maklumlah, sebagai anak tunggal aku memang dimanjakan. Semua kerja rumah, ibu yang lakukan. Aku hanya menggoyangkan kaki. Tabiat tidak baik aku itu seakan sebati dengan hidupku sehinggalah aku menginjak ke usia dua puluh dua tahun. Bayangkanlah dalam usiaku yang sebegitu, aku masih tidak tahu melakukan kerja rumah.

Namun, saat usiaku sudah menginjak ke dua puluh tiga tahun, ibu mula memaksa aku melakukan kerja-kerja rumah. Pada mulanya aku agak hairan, tetapi aku turutkan jua. Rupa-rupanya ada udang di sebalik batu. Aku akan dikahwinkan. Patutlah ibu beria-ia benar menyuruh aku melakukan kerja-kerja rumah. Mungkin sebagai persediaan sebelum aku dikahwinkan. Banyak yang aku belajar waktu itu. Dari memasak sehinggalah mengemas rumah, semua aku belajar.

"Hah, Ifa... betul ke kamu tak nak kahwin dengan Rizal tu?"

"Betul, mak long."

"Hmmm... baguslah tu. Mak long dengan pak long tak berapa setuju sangat kalau kamu nak kahwin semula dengan Si Rizal tu. Harap muka aja hensem, tapi perangai, masya-Allah. Elok sangatlah tu kamu batalkan." Ujar mak long.

Pak long hanya mengangguk-anggukkan kepala tanda menyetujui kata-kata mak long itu. Aku hanya tersenyum. Dalam hati seratus kali bersetuju dengan kata-kata mak long itu. Sempat juga kukerling wajah kedua-dua orang tuaku. Ternyata wajah-wajah itu jelas menunjukkan ketidakpuasan hati mereka.

Maklumlah, orang mengata bekas menantu kesayangan mereka. He he he... jahat betul aku ni.



"ASSALAMUALAIKUM…."

Aku yang sedang leka menaip sedikit tersentak apabila terdengar suara lelaki memberi salam. Siapa pula yang datang petang-petang ni? Baru saja mak long dengan pak long balik, ada pula yang bertandang.

Aku tidak berniat ingin menyambut tetamuku itu kerana pasti ibu sudah mendahuluiku. Lagipun sejak tadi ibu enak bersantai sambil menonton drama Indonesia kegemarannya di ruang tamu. Mengingatkan itu aku kembali meneruskan kerja-kerjaku di bilik.

Tidak sampai lima minit kedengaran suara ibu memanggil namaku. Aku pantas bangun mendapatkan ibu yang sedang berada di luar pintu bilik. "Ada apa bu?"
Ibu kelihatan serba salah.

Aku sedikit hairan dengan tingkah ibu yang kelihatan seperti ingin memberitahu sesuatu padaku.

"Kenapa ni bu?"

"Emmm... Ifa turunlah. Rizal datang, dia nak jumpa dengan Ifa," beritahu ibu sedikit teragak-agak. Muka ibu juga kelihatan sedikit cuak.

Aku sedikit terkejut. Yusrizal datang? Untuk apa? Jangan-jangan sebab majlis pertunangan yang dah dibatalkan tu tak? fikirku.

"Isy... tak naklah bu. Apa hal dia nak jumpa dengan Ifa pulak?"

"Turunlah. Ibu tengok Rizal tu serius semacam aje. Ibu bergurau pun dia buat tak tahu aja. Jangan-jangan ada kaitan dengan majlis pertunangan kamu tu. Turunlah ya... Kalau Ifa tak turun, ibu takut dia pulak yang naik nanti."

Aku mengeluh berat. Pusing memikirkan perkara apakah yang penting sangat sehingga membawa lelaki itu ke mari. Tetapi hatiku kuat mengatakan yang tujuan kedatangannya adalah berkaitan dengan majlis itu.

"Baiklah bu, kejap lagi Ifa turun."

Ibu menganggukkan kepala dan pantas berlalu ke dapur bagi menyediakan hidangan untuk tetamunya itu.

Selepas menyarung tudung di kepala, aku menapak perlahan menuju ke ruang tamu. Debar hatiku tidak terkira saat itu. Dari jauh sudah dapat aku lihat wajah serius Yusrizal yang sedang menunggu di ruang tamu. Makin menambahkan debar di hatiku. Wajahnya saat ini mengingatkan aku pada peristiwa lima tahun lalu. Yusrizal akan sentiasa berwajah serius sebegini jika marah padaku. Sememangnya aku cukup takut sekiranya bekas suamiku ini dalam keadaan sebegitu.

"Ada apa awak nak jumpa dengan saya?" kataku dengan nada berhati-hati.

Yusrizal pantas mengangkat kepala apabila mendengar suaraku menyapanya. Renungan matanya terus menusuk ke hatiku. Aku cukup gerun jika dia merenungku sebegitu.

"Kita keluar!" katanya setelah lama merenungku.

"Kenapa nak keluar? Kalau ada apa-apa yang penting, awak boleh cakap sekarang."

"Kita bincang kat luar. Ifa pergi siap sekarang. Abang tunggu," katanya tegas.

"Saya tak nak keluar!" balasku juga tegas.

Yusrizal pantas berdiri menghadapku. Matanya mencerlung merenungku. Aku sedikit tersentak. Tidak kusangka kata-kataku itu akan membuatnya marah.

"Kenapa degil sangat ni?"

"Suka hati sayalah!" kataku berani!

"Ifa nak ikut secara rela atau Ifa nak abang paksa?" ugutnya.

"Huh, awak nak paksa saya? Saya harap awak sedar sikit awak berada kat mana. Ni rumah saya. Dan awak tak ada hak nak paksa saya!"

"Kalau Ifa nak tengok abang buat apa yang abang cakap, cubalah. Abang kira sampai lima. Kalau Ifa tak siap, abang tarik Ifa keluar sekarang juga."

Mengugut konon! Ingat aku takut ke? Tak heran (hairan) pun, huh!

Aku hanya berdiri tegak sambil berpeluk tubuh. Lagakku seakan sengaja mencabarnya. Walaupun hatiku terasa gementar berhadapan dengannya, tetapi seboleh-bolehnya aku harus sembunyikan rasa gementarku itu. Aku tidak mahu kelihatan lemah di hadapannya.

"Satu... dua...."

Aku masih begitu. Tidak berganjak sedikit pun.

"Tiga!"

Aku mengangkat kening sambil tersenyum sumbing.

"Empat...."

Kiralah sampai seratus pun. Aku tak heran. Kalau setakat hendak mengugut, aku pun boleh.

"Lima!"

Serentak itu terasa tanganku ditarik kuat. Terkejut beruk aku dibuatnya. Dalam keadaan yang kurang persediaan sebegitu, sudah tentulah langkah kakiku hanya mampu mengikut jejak langkahnya. Walaupun aku cuba memberatkan langkah, tetapi nampaknya tidak berkesan. Aku ditarik seperti menarik perahu di dalam air. Sungguh aku tidak menyangka Yusrizal akan mengotakan kata-katanya.

"Masuk!" paksanya setelah membukakan pintu kereta buatku.

"Tak nak!" balasku pula.

"Abang kata masuk!"

"Saya kata tak naklah!" kataku lagi sambil menolak tubuhnya yang menghalang laluanku. Berniat ingin kembali semula ke rumah.

Tetapi sekali lagi Yusrizal menghalang langkahku. Kali ini lebih dahsyat. Tubuhku dicempung sewenang-wenangnya lalu dicampak ke dalam kereta. Terkejut aku dibuatnya. Sehingga aku langsung tidak membantah melainkan hanya membeku di dalam dukungannya. Nasib baiklah aku tidak memakai kain. Kalau tidak tentu sudah berlaku aksi panas di sini.

Setelah mengunci pintu, Yusrizal beralih ke tempat duduk pemandu. Namun langkahnya terhenti apabila tiba-tiba ibu menghalang.

"Ibu!!! Tolong Ifa!" laung aku dari dalam kereta. Entah ibuku dengar atau tidak.

"Rizal! Mana kamu nak bawa Ifa ni?" soal ibuku cemas.

Kelihatan Yusrizal kembali mendapatkan ibu lalu menyalami tangan ibuku itu. Boleh pulak berlagak baik sedangkan aku dikidnapnya.
"Saya nak pinjam Ifa sekejap bu," katanya sopan.

Huh! Dah disumbat aku dalam kereta ni, baru nak minta izin.

"Ya la... tapi kenapa macam ni?"

"Please, bu. Kejap aja. Rizal janji takkan buat apa-apa yang tak baik kat dia. Rizal cuma nak berbincang dengan dia."

"Kalau nak berbincang pun, dekat rumah ni pun boleh berbincang. Kenapa nak pergi jauh-jauh?"

"Please, bu. Ni soal personal. Rizal nak berbincang dengan dia aja. Rizal takkan buat perkara bodoh, bu. Rizal janji dengan ibu, kejap lagi Rizal hantar dia balik."

Ibu kelihatan serba salah ingin melepaskan aku. Lama dia memerhati aku di dalam kereta. Beria-ia aku menggeleng memberikan isyarat supaya ibu tidak membenarkan aku pergi bersama Yusrizal. Dengan pakaianku yang sebegini, memang tidak sesuai. Wajah yang pucat. Selekeh bebenor. Isy... apa yang aku merepek ni? Ni bukan soal pakaian. Tapi soal aku memang tak mahu!

Namun usahaku hanya sia-sia. Setelah lama berfikir akhirnya ibu mengangguk setuju. Aku mengeluh hampa. Aku memandang wajah ibu meminta simpati. Tetapi ibu hanya menghadiahkan senyuman buatku sambil menganggukkan kepala. Dan kereta Yusrizal meluncur laju meninggalkan ibu yang masih setia berdiri di luar pagar.



YUSRIZAL memberhentikan keretanya berdekatan dengan taman permainan berhampiran dengan rumahku. Aku fikir ke mana sajalah dia hendak bawa aku. Rupa-rupanya hanya di taman permainan yang beberapa langkah dari rumahku sahaja. Kalau setakat ini boleh saja aku berlari pulang kalau dia tinggalkan aku di sini pun.
Aku membuang pandang ke sekeliling. Agak ramai orang di sini. Maklumlah waktu petang. Ramai ibu bapa yang membawa anak-anak mereka bermain. Sedikit lega hatiku melihat keadaan itu. Tetapi apa yang memeningkan kepalaku adalah lelaki di sebelahku ini. Sudah beberapa minit berlalu namun suaranya tidak juga kedengaran. Aku menjeling ke arahnya. Kulihat dia hanya bersandar sambil matanya merenung jauh ke hadapan. Lagaknya itu seperti orang keletihan.

"Awak kata ada perkara yang nak dibincangkan. Apa dia?" kataku, memulakan perbualan.

Namun lelaki itu masih begitu. Tiada langsung butir bicara yang keluar dari mulutnya.

"Rizal tolonglah... tak manis kita macam ni. Apa yang penting sangat awak nak cakap dengan saya, sampai awak kidnap saya macam ni?"

"So? Yang manisnya apa? Batalkan pertunangan kita? Macam tu?" sergahnya tiba-tiba. Mukanya sudah memerah.

Tersentak aku dibuatnya. Nasib baik tak tercabut jantung aku.

"Kenapa, Ifa? Kenapa batalkan pertunangan kita?"

"Perlukah saya jawab sedangkan memang awak dah tahu jawapannya?" kataku sinis.

"Ifa masih berdendam dengan abang?"

"Dah tahu buat apa tanya lagi?" jawabku. Masih cuba bermain tarik tali dengannya.

"Ifa...." Yusrizal memusingkan badannya dan menghadapku. Mungkin mencari posisi yang lebih selesa untuk berbincang denganku. Sedangkan aku hanya memandang ke hadapan. Muak mahu melihat wajahnya.

"Abang buat semua ni sebab abang mahu tebus semua kesalahan abang pada Ifa dulu. Tolonglah beri peluang pada abang, Ifa. Abang janji yang abang takkan sia-siakan peluang yang Ifa beri," sambung Yusrizal lagi.

"Tebus kesalahan awak? Dengan cara berkahwin dengan saya semula? Awak ingat bila awak dah tamatkan gelaran janda ni, saya akan berbesar hatilah, macam tu? Hei... awak silap oranglah. Selagi luka kat hati saya ni tak hilang, selagi itulah saya takkan maafkan awak."

"Abang tahu bukan senang Ifa nak sembuhkan luka kat hati Ifa tu. Tapi abang janji, yang abang akan sembuhkan luka kat hati Ifa tu. Abang janji, Ifa. Cuma abang tak boleh buat semua tu sorang diri. Abang harapkan bantuan Ifa."

"Huh, tahu pun awak tak boleh buat. So, kenapa masih berusaha? Sedangkan awak tahu yang awak takkan berjaya."

"Sebab abang tahu, Ifa adalah jodoh yang sememangnya abang dambakan. Abang tak minta banyak. Abang cuma minta Ifa terima pinangan abang. Itu saja! Dan abang akan buktikan keikhlasan hati abang ni," pujuknya lagi.

Naik muak aku mendengarnya. Mulut manis mengalahkan gula. Tetapi itu semua hanya untuk memerangkap aku. Jangan harap aku akan termakan dengan segala janji-janji palsunya.

"Saya harap awak faham yang pertunangan gila tu dah dibatalkan."

"Abang tahu tu. Tapi abang mohon pada Ifa tarik balik keputusan Ifa tu. Lagipun Ifa janda sekarang. Ibu bapa Ifa tak boleh buat apa-apa lagi. Semua bergantung pada keputusan Ifa. Please Ifa... abang nak rujuk semula dengan Ifa," rayu Yusrizal lagi.

Naik rimas aku dibuatnya.

"Awak ni tak faham bahasa ke? Kan saya dah kata, yang saya tak nak dan tak ingin nak kahwin dengan awak semula. Tak faham? Awak nak saya cakap bahasa apa supaya awak faham?"

"Ifa, please marry me once again. And I promise you won’t regret it. Promise!"

"I said no! Don’t you understand that?"

Yusrizal melepaskan keluhan berat. Rambutnya dilurut ke belakang sambil bersandar. Baru dia tahu bukan senang hendak melembutkan hatiku. Itulah, siapa suruh cari pasal dengan aku dulu. Sekarang, rasakan! Melihat keadaannya seperti itu membuatkan akalku galak menyusun ayat untuk mendera perasaannya lagi.

"Can I ask you something?"

"Sure."

"Are you desperate?"

Soalanku membuatkan Yusrizal pantas memalingkan wajahnya ke arahku.

"Ya la, I mean dah tak ada perempuan lain ke yang nakkan awak ni sampai awak nak propose ex-wife awak ni?"
"Dengar sini! Ini bukan pasal dah tak ada perempuan lain yang nak kahwin dengan abang. Semua ni pasal abang nak Ifa yang jadi isteri abang. Hanya Ifa seorang! Yes, I admit that I’m desperate. Terdesak untuk memiliki Ifa," jelas Yusrizal dengan nada suara yang tegang.

Mungkin dia terasa hati dengan kata-kataku tadi.

"Huh, sudahlah. Tak ada maknanya awak nak kata macam tu kat saya. Sikit pun saya tak rasa terharu. Awak pergilah cari perempuan lain yang lebih sepadan dengan awak. Yang boleh tahan dengan sikap awak ni. Terus terang saya cakap, yang saya tak sanggup nak menghadap perangai awak yang kaki perempuan tu."
Sekali lagi Yusrizal memandang wajahku. Kali ini dia kelihatan seperti tidak menyenangi kata-kataku sebentar tadi. Renungan matanya lebih tajam daripada tadi. Aku jadi hairan.

"What?" tanyaku.

"Ifa masih ingat abang ni kaki perempuan?"

"Memang betul pun, kan?"

"Yup! Memang betul abang ni kaki perempuan," akuinya.

"Hah, tahu pun. So, apa yang salahnya saya cakap?"

"But it was five years ago. Yang berada dengan Ifa sekarang bukan Yusrizal yang dulu. I’ve changed. Abang dah tak buat benda-benda tu lagi. Apa yang abang inginkan sekarang ialah mencorakkan masa depan abang dengan orang yang paling abang sayang."

"Yalah tu. Boleh percaya ke?"

"Terpulanglah pada Ifa. Abang tahu Ifa mesti ingat abang tipu Ifa. Tapi abang memang tak berniat nak tipu Ifa. Abang betul-betul maksudkannya. Suatu hari nanti Ifa akan nampak kebenarannya juga," kata Yusrizal dengan nada perlahan.

Aku mencebikkan bibir. Mempersendakan kata-katanya. Jangan mimpi yang aku akan mempercayainya. Kalau betul pun lelaki di sebelahku ini telah berubah seperti yang dikhabarkan oleh ibu dan abah, belum tentu aku akan menerimanya kembali.

"Sudahlah... awak tak usah nak harapkan saya. Kalau awak dah berubah sekalipun, saya tetap takkan terima awak. Hati saya masih sakit. Awak takkan dapat sembuhkan luka kat hati saya ni," tegasku, sekali gus menyampaikan maksud yang aku memang tidak ingin untuk hidup bersamanya lagi.

"Of course I can. Abang akan buktikan pada Ifa. Abang takkan kahwin dengan perempuan lain kecuali Ifa. Itu janji abang."

Aku ketawa kecil. Sedikit lucu dengan janji-janji yang dilafazkan oleh Yusrizal.

"Kenapa?" tanya Yusrizal.

"Tak adalah... lucu pulak rasanya. Awak ni boleh ke hidup tanpa perempuan? Kalau tak silap sayalah, lepas habis tempoh edah saya dulu, awak terus kahwin dengan Anne, kan? Tu yang rasminyalah... yang tak rasmi tu tak tahulah. Sedangkan masa tempoh perkahwinan kita pun dah berapa ratus kali agaknya awak tidur dengan dia," kataku sinis. Sengaja mengundang kemarahannya.

Aku memang suka kalau dia marah. Apatah lagi kalau melibatkan perangainya dulu. Biar dia sedar betapa teruk perangainya dulu sehingga telah melukakan hatiku. Dan aku mahu dia sedar betapa dalamnya amarahku ini.Tetapi nampaknya kata-kataku itu langsung tidak berbekas di hatinya. Malahan, dia hanya tertawa kecil. Gila betul mamat ni, bisik hatiku.

"Itu yang ruginya," katanya.

Aku sedikit hairan dengan kata-katanya.

"Rugi? Macam tak percaya pula awak yang bercakap macam tu?"

"Yalah, abang rasa rugi bila ingat kembali kisah lima tahun dulu. Buat penat aje abang makan jauh-jauh, sedangkan dekat rumah pun dah tersedia. Cantik pulak tu. Rugi betul. Sekali pun abang tak pernah rasa yang kat rumah," katanya sambil tersenyum nakal.

Aku memandang wajahnya dengan pandangan kurang mengerti. Namun apabila dia mengenyitkan mata, barulah aku mula faham maksud kata-katanya itu.

Serta-merta wajahku bertukar rona. Pantas aku memalingkan wajah. Kurang ajar betul! Sempat lagi dia nak mengenakan aku.

"Aiks, malu ke sayang?"

"Mana ada!" balasku.

"Ya ke? Tapi abang nampak macam merah aje pipi sayang tu?" usik Yusrizal lagi.

Kelam-kabut aku menyembunyikan wajahku yang sememangnya merah menahan malu itu. Lelaki itu pula apa lagi, galak mengusik aku. Sakit hati aku usah dicakap.
"Boleh tak awak hantar saya balik sekarang? Nanti ibu risau pulak," pintaku.

Permintaan itu sekadar untuk menghentikan usikannya yang semakin bermaharajalela kurasakan.

"Nak mengelat la tu," katanya masih ingin mengusikku.

Aku menggigit bibir, geram.

"Ibu dah bagi permission kat abang tadi. Dia cakap nak bawa Ifa ke langit pun tak apa."

"Awak jangan nak bohonglah. Ibu tak cakap macam tu pun tadi," balasku.

"Ya ke? Tak ek?" Yusrizal pura-pura bertanya. "Ooo… Ifa curi dengar perbualan abang dengan ibu, ek? Tak baik tahu...."

"Whatever! Sekarang boleh tak awak hantar saya balik. Kalau awak tak nak hantar, saya boleh balik sendiri. Bukan jauh pun," ugutku.

"Mengugut nampak. Abang boleh hantar Ifa balik. Tapi janji dulu yang Ifa akan rujuk dengan abang semula."

"Kan saya dah cakap yang saya takkan kahwin dengan awak. Tak faham lagi ke?"

"Okey, kalau macam tu, kita duduklah kat sini sampai Ifa setuju. Abang pun suka. Tak tidur pun tak apa kalau dapat tenung muka Ifa macam ni."

Yusrizal menurunkan tempat sandarnya. Enak sekali dia merebahkan badannya di situ. Namun matanya langsung tidak lari daripada merenung wajahku.

"Awak ingat saya tak boleh balik sendiri ke?" ujarku sambil cuba membuka pintu kereta.

Aku sudah memutuskan untuk pulang sendiri. Biarpun mengambil masa sepuluh minit untuk sampai ke rumah, tetapi itu lebih baik daripada duduk di dalam kereta bersamanya begini.

Namun aku berasa hairan apabila pintu kereta tidak boleh dibuka. Sekali lagi aku mencuba. Usahaku masih gagal. Aku berpaling ke arah Yusrizal. Kelihatan lelaki itu hanya tersenyum senang. Mataku liar mencari tempat untuk membuka kereta, tetapi tidak kutemui. Aku pasti Yusrizal telah mengunci keretanya dari dalam. Ah, hatiku kembali mendidih. Kereta canggih seperti ini ternyata menyusahkan aku!

"Buka pintu kereta ni, Rizal. Saya nak keluar!" arahku dengan nada yang tinggi.

"Kalau abang tak nak?"

"Saya kata buka!"

"Kalau abang tak nak?" soalnya lagi.

"Apa yang awak nak sebenarnya ni? Kalau awak nak paksa saya kahwin dengan awak, itu memang tak akan berjaya."

"Abang bukan nak memaksa, tapi cuma nak minta sedikit persetujuan daripada Ifa. Itu saja."

"Tak memaksa macam ni? Hei! Bahasa apa yang awak pakai ni?"

"Bahasa Melayulah," jawabnya selamba.

"Hesy...."

Hatiku mendidih. Susah bercakap dengan orang yang tidak cukup ‘wayar’ ini.

"Rizal, tolonglah... saya malas nak bertegang urat dengan awak. Dah berapa kali saya cakap yang saya tak nak rujuk dengan awak. Tolonglah faham...."

"Tapi kenapa?"

Kenapa? Perlukah ditanya lagi? Namun bisikan itu hanya lahir dalam hatiku. Tidak aku suarakan.

"Answer me Ifa. I need to know," tanya Yusrizal lagi. Dia tidak berbaring lagi. Matanya membulat merenungku.

"Awak nak tahu kenapa? Okay, I let you know. Because I hate you! Puas hati?"

Kuat suaraku menyusup ke telinganya kurasakan. Geram juga kerana terus-terusan dipaksa begini.

"As... I guess," katanya selamba.

Aku kira kata-kataku tadi akan membuatkannya kelu seribu bahasa. Rupa-rupanya tidak. Yusrizal seperti sudah menjangkakan kata-kata yang bakal keluar dari mulutku ini.

"Betul, kan apa yang abang cakap tadi? Ifa masih berdendam dengan abang."

"So, what?"

"So, nampaknya perkara pertama yang perlu abang buat sekarang ialah hilangkan dendam di hati Ifa tu."

"Awak takkan berjaya!"

"Well, kita tengoklah nanti. Pasal pertunangan Ifa tak perlu risau. As you wish, kita batalkan aja pertunangan tu. Abang hantar Ifa balik sekarang!"

Serentak itu Yusrizal terus melepaskan hand break dan menekan pedal minyak. Pelik juga aku dengan perlakuannya itu. Tapi hatiku sedikit lega kerana dia sudah memutuskan untuk tidak memaksa aku meneruskan pertunangan itu.

Sampai saja di hadapan rumah, dia terus memberhentikan keretanya. Pantas sahaja aku melangkah keluar. Kelihatan ibu sudah menunggu di depan pintu rumah. Mungkin ibu risaukan diriku. Tetapi seperti yang Yusrizal janjikan, dia tidak melakukan apa-apa terhadapku, cuma berbincang.

"Ifa!" panggil Yusrizal.

Aku berpaling dengan malas. "Apa lagi?"

"Emmm... pertunangan ni akan dibatalkan. Tapi abang takkan mengaku kalah. Ifa tetap akan jadi milik abang jugak nanti," putus Yusrizal dari dalam kereta.
"Hah! Jangan nak bermimpilah!!!" tempelakku.

"See you...." Katanya dan berlalu pergi.

Tidak terkutik aku di situ memikirkan kata-katanya sebentar tadi. Aku hanya sedar apabila ibu memanggil aku masuk ke dalam rumah kerana hari sudah hampir senja.

0 comments:

Post a Comment