APA KATA HEROIN?

"Mungkin apa yang I katakan ni susah untuk you percaya. I faham kenapa you berfikiran seperti itu. I perempuan yang bertanggungjawab memusnah rumahtangga you. Sudah tentu sukar untuk mempercayai kata-kata perempuan seperti I, kan?" Anne menghentikan bicaranya buat sementara waktu. Matanya tunak merenung ke mataku.

APA KATA HERO?

"Abang faham kalau Ifa masih belum bersedia. Tapi abang tak nak tidur sorang-sorang. Abang kan dah ada isteri. So, abang nak tidur dengan isteri abang," ujarnya tenang ketika aku menyuarakan hasrat hatiku itu.

Antara Benci Dan Rindu 8

AKU mempercepatkan langkahku. Panggilan bertalu-talu daripada Daniel tidak aku pedulikan. Selepas kejadian di bilikku tempoh hari aku seboleh-bolehnya cuba menjauhkan diri daripadanya. Bukan kerana benci, tetapi untuk mengelakkan daripada perkara-perkara yang tidak aku ingini. Maklum sajalah, cinta pertama sukar untuk dilupakan. Buatnya aku terjatuh cinta dengan dia semula, haru jadinya. Kalau sebelum ini aku masih boleh mengawal perasaanku daripada jatuh sayang kepadanya, itu kerana pada fikiranku Daniel sudah melupakan aku dengan kewujudan Masyitah di sisinya. Tetapi rupa-rupanya tidak.

Dengan godaan Daniel, aku mungkin akan kembali ke sisinya. Sedangkan aku tidak mahu perkara itu terjadi. Bagaimana dengan Masyitah nanti? Dia mungkin akan menuduh akulah punca keretakan hubungan mereka.

"Ifa, wait!" panggil Daniel sambil memintas perjalananku.

Aku tidak punya pilihan melainkan terpaksa berhadapan dengannya dan aku cuba untuk berlagak seperti biasa.

"Eh, Daniel! You tak ada kelas ke sekarang ni?" tanyaku. Wajah yang kalut cuba aku ceriakan.

"Sejak bila you dah lupa nak hafal time table I ni?" tanya Daniel sinis.

Selama ini jadual waktu pengajaran Daniel memang terakam kemas dalam kotak memoriku. Tak mungkin aku lupa. Cuma aku tidak tahu ayat apa yang sedap didengar untuk halwa telinga lelaki itu.

Kebiasaannya aku akan mengambil peluang untuk berbual dengannya ataupun berbincang tentang kerja pada waktu lapang masing-masing. Itupun jika tidak ada kerja yang memerlukan tuntutan segera.

"Oh ya, I lupa... sekarang memang you tak ada kelas, kan?"

"You lupa atau buat-buat lupa?"

"Eh, kenapa pulak I nak buat-buat lupa? I memang tak ingat. Sorry ek?"

"Okey, tapi kenapa you tak toleh bila I panggil you tadi?"

Sudah! Apa pula alasan aku kali ini?

"Errr… sorry, I tak dengar tadi!"

Kulihat mata Daniel mengecil. Menandakan yang dia tidak berpuas hati dengan jawapan yang kuberi.

"Tak dengar?"

"Haah, I tak dengar! Sorry ek?"

"Tak dengar..." ulang Daniel sambil mengangguk-anggukkan kepalanya. "Tapi boleh pulak you berjalan laju macam ribut? Kenapa tu?"
Kepalaku ligat mencari alasan. Alasan yang tidak akan melukakan hati sahabatku ini.

"Emmm… actually I tengah kejar masa ni. Ada hal kejap lagi. Sebab tu laju aje jalannya."

"Ya ke you tengah kejar masa? Ke sengaja nak larikan diri daripada I?"

"Hah? Nak larikan diri daripada you? Kenapa pulak? You ni merepek ajelah," sangkalku pantas.

"You jangan cuba nak nafikan Ifa. I tahu sejak hari tu you langsung tak nak berbual-bual dengan I. Kalau nampak I you mesti lari. You ingat I tak perasan semua tu?"

Aku terdiam seketika. Aku kehilangan kata-kata. Dalam diam aku mengakui akan kata-katanya. Memang benar aku sedang melarikan diri daripadanya. Tapi persoalannya sekarang sampai bila? Tengok sajalah sekarang. Baru beberapa hari aku sudah tertangkap.

"Kenapa you diam? Betul, kan apa yang I cakap?"

"Tak adalah. Buat apa I nak larikan diri daripada you? Lagipun kitakan kawan baik? Takkan I nak larikan diri daripada kawan baik I sendiri?" nafiku lagi.
Daniel memandang aku dalam. Mungkin cuba mencari keyakinan dalam kata-kataku tadi. Tapi mungkinkah kebenaran itu akan dijumpai sedangkan aku sendiri tidak tahu akan kebenaran kata-kata yang lahir dari bibirku ini.

"Betul you tak larikan diri daripada I?" tanya Daniel lagi untuk memastikan kata-kataku itu benar belaka.

"Betullah," jawabku pantas.

"Okey, kalau macam tu apa kata you temankan I makan," ujar Daniel dengan senang hati. Dia masih lagi mahu mengujiku.

"Hah?"

"Kenapa? Kata kita kawan baik? Takkan nak temankan kawan baik makan pun tak boleh? Sebelum ni you tak kisah pun." Daniel pantas membidas membuatkan aku kehilangan kata-kata. Manakala otakku pula ligat berfikir sama ada hendak turutkan saja permintaannya atau menolak.

"Okeylah kalau macam tu." Akhirnya aku memberikan persetujuan untuk menemaninya.

Niatku cuma tidak mahu melukakan perasaannya. Dalam keadaan sekarang perasaan Daniel mungkin mudah tercalar.

"Tapi tunggu kejap. I nak letakkan barang-barang ni dulu kat bilik."

Daniel hanya mengangguk sebagai tanda keizinan.



"MACAM MANA you sekarang?"

Aku menghentikan suapan. Wajah Daniel kupandang. Entah mengapa hatiku pasti soalan Daniel itu punya maksud tersirat. Tetapi aku cuba untuk tidak mengendahkannya.

"Macam biasa aje. Tak ada apa yang menarik pun," jawabku tenang.

"Ya ke? You dengan Rizal macam mana?"

"Rizal? Kenapa tiba-tiba tanya pasal dia ni?"

Daniel tersenyum. Dia meletakkan sudu dan garpu ke dalam pinggan yang sudah kosong. Sambil mengelap bibirnya, dia bersuara, "yalah... you kan dah batalkan pertunangan you dengan dia. So, dia tak kata apa-apa ke?"

"Ada jugak. Tapi nak buat macam mana? Dia tak boleh paksa I."

"Betul ke you dah tak ada perasaan kat dia?"

Aku mengangkat kepala lalu meletakkan pandangan mataku ke matanya. Sedikit ganjil apabila aku mendengar pertanyaan itu.

"Kenapa you tanya macam tu? Ada ke I ni nampak macam masih tergila-gilakan dia?"

"Bukan I bermaksud macam tu. Cuma I terfikir, kalau you dah tak ada apa-apa perasaan kat dia, kenapa you tak boleh terima I?"

Sudah kujangkakan persoalan ini yang ingin dibangkitkan oleh Daniel. Perlukah aku menegaskannya sekali lagi? Tetapi aku takut sekiranya akan melukakan hati lelaki ini yang ternyata masih setia menantiku. Tetapi kesetiaanku pula seakan-akan tercalar saat aku menerima Yusrizal sebagai suamiku dulu.

"Kenapa you diam?"

"Tolonglah Daniel... jangan mulakannya lagi. I tak nak lukakan hati you."

"Tapi hati I memang dah terluka Ifa, saat you terima Rizal sebagai suami you. Jadi apa bezanya sekarang? Sama, kan? Tak salah rasanya kalau you nak tambahkan luka di hati I ni!"

"Apa maksud you?"

"Apa maksud I? Huh, macam yang I cakap tempoh hari, I masih cintakan you dan akan berusaha memiliki you walau macam mana sekalipun. Kalau perlu I paksa you, I akan buat! Asalkan I dapat memiliki you."

"What? You dah gila ke? You tak boleh paksa I!"

Kemarahanku naik mendadak. Daniel memang melampau. Aku sudah bermurah hati menemaninya makan tetapi ini yang dibalas padaku? Siapa dia untuk memaksa aku? Aku berhak menentukan jodoh aku sendiri. Dah gilakah lelaki ini?

"Siapa kata I tak boleh paksa you? Kalau dulu ya, memang I terlalu pemurah sampai sanggup melepaskan gadis yang I cinta kepada lelaki lain. Tetapi kali ni tidak lagi. I akan dapatkan balik cinta I!" Daniel membidas.
"Sepatutnya dari dulu lagi you dah jadi milik I, bukan Rizal..." sambungnya perlahan. Namun masih punya ketegasan kerana setiap butir kata yang keluar dari mulutnya ditekankan agar cepat meresap ke dalam otakku, mungkin.

Aku pula sudah ternganga tidak percaya. Bagiku, yang berada di hadapanku ini bukanlah Daniel yang telah lama aku kenali. Bagiku dia adalah lelaki lain. Cara dan sifatnya berubah serta-merta. Ke mana hilangnya Daniel yang dulu? Yang tidak pernah memaksa kehendakku? Yang pelembut dan penyayang?

"You tak boleh macam ni Daniel. Macam mana dengan Masyitah? You tak kesian dengan dia?"

"Ah, I tak peduli semua tu! Yang I mahukan sekarang ialah you!" katanya keras. Tetapi masih dikawal nada suaranya agar tidak mengganggu pensyarah lain. Air muka kami juga harus dijaga.

"Astaghfirullahalazim... mengucap Daniel. Kawal diri you tu!"

"I masih waras, jangan bimbang," kata lelaki itu.

Mungkin cuba menidakkan andaianku bahawa dia sudah tidak waras.

"Tapi ingat Ifa, I akan dapatkan you..." sambungnya tidak putus asa.

Dengan kata yang berbaur peringatan itu dia terus meninggalkan aku yang ternyata masih tidak percaya dengan tindakannya sebentar tadi.

Aku memicit dahi yang terasa berdenyut-denyut tiba-tiba. Kenapa semua ini harus terjadi? Rasanya mahu saja aku bertempik sekuat hati bagi melepaskan bebanan perasaan ini. Eee! Semua ini Yusrizal punya pasal la! Ternyata dia punca segala masalah.

Ya Allah, apa yang harus kau lakukan? Linda! Ya, Lindalah pengubat hatiku sekarang ni. Dengan pantas aku mengeluarkan telefon bimbit dan nombor telefonnya kudail.

"Helo Linda. Kau free tak petang ni?"

"Wei... bagilah salam dulu. Ni main terjah aje!" marah Linda.

"Ah, kira halallah. Tak berdosa pun kalau tak bagi salam. Yang berdosanya kalau tak jawab salam."

"Apa-apa ajelah kau ni. Hah, apehal? Aku free kut petang ni."

"Aku nak jumpa kau."

"Rindu kat aku ke?"

"Boleh tak?" tanyaku tanpa menjawab pertanyaannya. Buat menambahkan sakit hatiku saja.

"Boleh cik kak. Kat mana?"

"Tempat biasa. Pukul lima, ek?"

"Okey, jumpa nanti."



SEKEJAP-SEKEJAP aku melihat jam di pergelangan tangan. Waktu sudah menunjukkan ke angka lima setengah petang. Bermakna sudah empat puluh minit aku menunggu kedatangan Linda di kafe ini kerana aku tiba sepuluh minit lebih awal. Tetapi sampai sekarang batang hidung gadis itu langsung tidak kelihatan.

Ke mana sajalah perempuan ni? Tak pernah-pernah lambat. Kita lagi ada masalah, waktu macam nilah dia nak datang lambat. Sekali lagi aku melihat jam di pergelangan tangan. Sudah menginjak ke angka lima tiga puluh lima minit petang. Aku semakin gelisah.

"Woit, sorry lambat! Ada extra work tadi." Linda tiba-tiba datang menyapaku dari arah belakang. Terkejut aku bukan kepalang. Minah ni main sergah saja!

"Apesal buat muka macam tu? Sorry la... bukan sengaja. Takkan setengah jam lambat pun dah tarik muka macam tu?"

"Tak adalah... kau tu, main sergah-sergah orang pulak. Terkejut aku, tau? Boleh lemah jantung aku macam ni," ngomelku tidak puas hati.

Linda mencebik.

"Macam tu pun nak terkejut. Kau ni tak habis-habis lagi dengan penyakit kau, kan? Sikit-sikit nak terkejut. Jangan lemah sangat, cik kak. Be strong. Macam aku ni," ujar Linda sambil mendabik dada.

Aku ketawa. Kelakar pula rasanya.

"Macam kau? Huh, tak payahlah. Tengok kucing berkelahi pun kau lari lintang-pukang," ujarku sambil ketawa. Hatiku bagai digeletek apabila teringat kembali zaman ketika belajar di universiti dulu.

"Syyy…." Linda meletakkan jari ke bibirnya. Matanya meliar memerhati orang sekeliling. "Kau ni pelan-pelan la sikit. Orang dengar malu aku, tau? Yalah, aku lari la... kang diserangnya aku, haru jadinya."

"Pandai laa… nak beralasan. Cakap ajelah kau tu penakut, Linda. Habis cerita!"

"Isyyy... kau ni, diam boleh tak? Hah, tadi bukan main lagi nak jumpa aku. Apehal?"

Aku terdiam sambil menunduk apabila soalan itu diutarakan. Namun mataku masih memandang Linda yang seperti orang kebingungan dengan lagakku itu.

"Ni apehal pulak ni? Ada problem lagi ke? Pasal Rizal lagi?"

Aku menggeleng. Namun selepas berfikir beberapa ketika aku mengangguk pula.

"La... kau ni, yang mana satu? Ya ke tak?"

"Ya tu ya la jugak. Bukan kau tak tahu Rizal tu... tapi yang paling merunsingkan aku sekarang ialah Daniel!"

"Daniel? Kenapa pulak dengan Daniel?"

Tanpa menunggu lama aku terus menceritakan perkara sebenar padanya. Setiap rentetan kisah yang berlaku dalam hidupku baru-baru ini aku ceritakan padanya. Dan Linda seperti biasa akan mendengar dengan tenang. Linda memang pendengar yang baik. Justeru, aku kadang-kadang akan menggelarkannya ‘recorder’. Kerana semua yang didengarnya akan tersimpan kemas di dalam otaknya.

"Sampai hati kau tak cerita yang kau nak bertunang hari tu," kata Linda selepas aku selesai menceritakan segala-galanya. Nampaknya Linda merajuk.

"Bila masa aku bertunang? Kan aku dah cakap, pertunangan aku dah dibatalkan."

"Memanglah… tapi sampai hati kau tak ceritakan event penting macam tu kat aku."
"Aku bukan tak nak cerita kat kau. Tapi aku sendiri pun tengah buntu waktu tu. Yalah, aku tak tahu apa-apa pun. Tiba-tiba ibu dan abah beritahu yang mereka dah terima pinangan daripada Rizal. Dah la tu, pertunangan akan berlangsung dalam masa beberapa hari aja. Otak aku ni dah tak boleh nak fikir apa-apa dah," jelasku berharap Linda tidak akan memanjangkan rajuknya.

"Serabut macam mana pun beritahulah aku. Sekurang-kurangnya bolehlah aku kurangkan stres kau tu."
"Yalah... yalah... lain kali kalau ada apa-apa aku beritahu kau. Dahlah, janganlah merajuk," pujukku lagi. Sekadar menghilangkan rasa jauh hati Linda itu.
"Okeylah, kali ni aku maafkan kau. Tapi lepas ni, never!" Linda memberikan amaran.

Nampaknya temanku ini sudah termakan dengan pujukanku. Alah, bagiku Linda hanya ingin menggertakku kerana aku tahu dia tidak mungkin akan melakukannya. Dia terlalu sayangkan persahabatan kami dan aku pun begitu. Kami berdua akan melakukan apa saja untuk memelihara pertalian ini. Tiada apa pun yang boleh memusnahkannya.

"So, kau macam mana sekarang?"

Soalan Linda membuatkan aku mengeluh perlahan. Aku tunduk memandang meja sambil tanganku leka bermain-main dengan penyedut minumanku. Hampir rosak aku kerjakan penyedut minuman itu.

"Entahlah Linda... aku tak tahu nak buat apa. Berserabut rasanya. Rizal dengan perangai dia, Daniel pula dengan hal dia. Hai... pening kepala aku ni."

"Relakslah, Ifa. Kau jangan pening-pening. Tenangkan diri kau tu. Barulah nampak jalan keluarnya," kata Linda memulakan sesi kaunselingnya. Itulah kerjaya kedua Linda. Tetapi perkhidmatan itu hanya disediakan untuk aku sahaja.

"Habis tu, aku nak buat apa? Aku langsung tak nampak jalannya."

"Susah-susah, kau terima ajalah Daniel tu. Dia pun mantan kekasih kau, kan? Aku rasa tak ada masalah!" Linda sudah memberikan pandangan. Tetapi nampaknya pandangan yang diberikan kali ini langsung tak bernas.

"Gila kau! Masyitah, tunang dia tu nak letak mana?" bantahku pantas.

"Haah, kan? Lupa pulak aku. Kalau macam tu kau terima ajalah Si Rizal tu. Dia pun akan stop kacau kau. Yalah... sebab dah dapat apa yang dia nak, kan? And automatically will stop Daniel’s step."

Lagilah tak bernas! tempelakku dalam hati. Orang nak elak, disuruhnya kita mendekat. Aku menggeleng laju.

"Kenapa?" tanya Linda apabila melihat gelenganku itu.

"Okay what? Dia pun kaya-raya, handsome pulak tu. Tapi bab perangai tu... he he he... aku tak berani jaminlah," sambung Linda dengan idea yang kononnya bernas itu.

"Mana perginya idea-idea bernas kau tu? Ada pulak nak suruh aku terima Rizal. Apa kau ingat aku ni dah desperate sangat ke sampai sanggup pilih dia?"

"He he he... aku gurau ajelah. Itu pun nak ambil serius ke?"

Aku menghadiahkan jelingan yang maha tajam. Geram dengan lagaknya yang seolah-olah mempermainkan aku yang tengah serius.

"Jeling-jeling! Aku korek biji mata kau nanti baru tau!" marahnya.

"Main-mainkan aku lagi," rajukku lagi.

"Orang gurau ajelah. Sensitif sangat kau ni semenjak dua menjak ni, kenapa? Datang bulan ek?"

"Banyaklah kau punya datang bulan. Eh, cepatlah! Tolong aku ni. Apa yang perlu aku buat ni?"

Linda menongkat dagu sambil jari telunjuknya mengetuk-ngetuk lembut pipinya. Mungkin sedang mencari idea.

"Isy... aku pun tak tahulah. Masalah kau ni rumit sangat. Yang Si Daniel ni pun satu, tiba-tiba aje nak kat kau balik, kenapa? Dah tahu diri tu dah bertunang, masih terhegeh-hegeh lagi," omel Linda.

"Entahlah Linda. Itu yang buat aku pening ni. Aku takut sebenarnya Linda. Buatnya aku tersangkut dengan Si Daniel pulak macam mana? Aku sendiri tak boleh jamin hati aku akan kuat kalau terus dipujuknya. Maklum sajalah, cinta pertama sukar nak dilupakan," terangku dengan nada lemah.

"Isy, kau jangan nak buat hal, Ifa. Kan Daniel dah bertunang? Kau tak kesian ke dengan tunang dia tu?"

"Sebab kesianlah aku minta pendapat kau ni. Apa yang perlu aku buat untuk mengelak daripada semua ni? Aku tak nak jadi perosak hubungan orang."

Linda mengangguk tanda faham. Lama dia perhatikan wajahku sebelum membuka mulut.

"Apa kata kalau buat sementara waktu ni, kau cuba elakkan diri daripada dia? At least, sampai dia kahwin dengan tunang dia tu. Tak lama lagi, kan?"
"Aku dah cuba Linda. Semenjak dia cakap dia masih cintakan aku, terus aku jauhkan diri daripada dia. Tapi semakin aku menjauh, semakin dekat pula dia dengan aku. Tiap-tiap hari kalau boleh dia nak makan dengan aku. Lepas tu apa saja aktiviti yang aku masuk dengan fakulti mesti dia akan join jugak. Bila aku tegaskan pendirian aku, dia pula akan ingatkan aku yang dia tetap akan cuba sedaya upaya untuk dapatkan aku semula. Aku buntu Linda. Dah tak tahu nak buat macam mana lagi," luahku panjang lebar.

Terlopong Linda mendengarnya. Mungkin tidak menyangka Daniel yang tampak sopan itu sebenarnya seorang yang kuat mengugut.

"Isy! Takkan sampai macam tu? Kalau macam tu, ni dah kira kes berat. Aku tak jamin kau akan senang-senang boleh lepas daripada dia. Lagipun, dia dah pernah lepaskan kau dulu. Kali ni aku tak jamin dia akan lepaskan kau macam tu aje."

Aku mengangguk setuju.

"Daniel pun ada cakap macam tu jugak dekat aku."

"Kalaulah gitu gayanya, aku dah tak nampak cara lain untuk kau lari daripada Daniel melainkan kau...." Linda meleretkan kata-katanya sambil matanya memandangku. Membuatkan aku mengangkat kening.

"Aku apa?"

"Kahwin!"

Kahwin?

Hesy! Belum terfikir aku nak kahwin lagi, fikirku. Pinangan Yusrizal pun aku dah tolak. Takkan nak kahwin pulak? Nak kahwin dengan siapa? Boyfriend pun tak ada. Lagipun siapa yang nak dengan janda macam aku ni. Hmmm... kecuali Daniel!



AKU peluk bantal panjang yang sudah tersedia di atas katil. Puas berbaring aku meniarap pula. Kalau difikirkan secara mendalam memang ada benarnya kata-kata Linda itu. Itu sahaja caranya untuk menghalang Daniel. Tetapi masalahnya sekarang aku nak kahwin dengan siapa? Dengan Rizal? Isy... minta dijauhkan. Tak sanggup aku! Tu bukan menyelesaikan masalah tetapi mengundang bala. Habis, kalau bukan dengan Rizal... siapa lagi nak dekat dengan aku ni?

Aku bermonolog sendirian. Memikirkan calon-calon yang sesuai. Tetapi satu wajah pun tidak singgah di fikiranku ini. Maklumlah, aku memang tidak punya ramai kawan lelaki. Kalau ada pun semuanya sudah berkahwin. Tetapi kalau ada pun takkanlah aku nak mempromosikan diri? Buat malu aje!

Aduh, sakitnya kepala memikirkan semua ni! Kenapalah aku perlu hadapi perkara-perkara macam ni? Rasanya apa yang sedang aku fikirkan ini lebih sukar daripada menyediakan soalan-soalan akhir semester untuk subjek perakaunan kewangan lanjutan.

Aku mengetuk-ngetuk kepala. Masih cuba sedaya upaya untuk mencari jalan keluar. Kalau dah susah-susah sangat suruh ibu carikan ajelah. Tiba-tiba timbul idea gila itu dari benakku. Apa agaknya reaksi ibu kalau aku suarakan permintaanku ini kepadanya? Mesti terkejut beruk.

Maklumlah, tempoh hari bukan main lagi tak mahu kahwin, sekarang alih-alih minta carikan calon pulak. Mesti ibu fikir dah terdesak agaknya anak perempuannya ini. Tapi hakikatnya pun memang aku terdesak.

Tapi betulkah aku nak kahwin ni? Isy... tak naklah. Takkan tak ada cara lain untuk mengelak daripada Daniel? Mesti ada, kan? Tapi apa caranya ya?

Aku terus memerah otak. Mencari-cari jalan keluar kepada permasalahan aku ini. Pelbagai idea yang aku pertimbangkan sehingga tidak sedar bila aku tertidur malam itu.

0 comments:

Post a Comment